Kata tahajud mengikut kamus lisan al-Arab berasal dari hajada, bererti tidur. Tahajada bererti bangun tidur. Jadi solat tahajud ialah solat malam yang dilakukan selepas seseorang itu tidur. Solat ini termasuk solat malam, tetapi khusus bagi orang yang tidur lalu terjaga. Solat ini disebut dalam Quran surah Isra’ (17) ayat 76:“Pada sebahagian malam buatlah solat tahajud sebagai tambahan.”
Hikmah
Solat ini pada peringkat awalnya wajib pada Nabi, tetapi kemudian selepas adanya solat fardhu lima waktu, solat tahajud ini menjadi sunat. Walaupun demikian, solat ini masih lagi penting, kerana solat ini dapat meningkatkan kedudukan orang yang mengamalkannya, sama ada di dunia atau di akhirat seperti yang disebut pada penghujung ayat di atas tadi.“Dengan solat tahajud ini, tuhan akan memberikan kamu kedudukan yang terpuji.”(Isra’: 78)
Hadis Nabi juga menyebut:“Siapa yang solat (tahajud) akan dinaikkan tarafnya satu tingkat dan dihapuskan kejahatannya satu.”(Muslim).
Permohonan manusia lebih dekat kepada Allah pada dini hari. Pengabdian manusia yang mengorbankan masa tidurnya yang sedap untuk bangun dan solat akan dipandang dan disukai oleh Allah. Hadis riwayat Bukhari dan Muslim menyatakan: Allah turun ke langit dunia pada setiap malam pada sepertiga malam terakhir, lalu berfirman:“Adakah orang berdoa, adakah orang yang bermohon, adakah orang yang meminta, lalu aku penuhi doa dan permintaannya.”
Cara-Cara
Solat tahajud boleh dilakukan lapan rakaat ataupun sepuluh rakaat. Semua solat itu dilakukan dua rakaat satu salam. kemudian diikuti dengan solat witir tiga rakaat. Solat ini berbeza dengan solat malam biasa dari segi masa, iaitu solat malam dilakukan sebelum tidur dan solat tahajud dilakukan selepas tidur.
Lafaz niat:
أُصَلِّي سُنَّةَ التَهَجُّدِ رَكْعَتَيْنِ لِلَّهِ تَعَالَى
“Usolli sunnatal tahajud rak’ataini lilaahi ta’ala”
Artinya:“Sahaja saya solat sunat tahajud dua rakaat kerana Allah Ta’ala.”
0 comments:
Post a Comment