Showing posts with label Solat Sunah. Show all posts
Showing posts with label Solat Sunah. Show all posts

Tuntunan Solat Sunat Tarawih

Solat sunat muakkad berjemaah yang berikutnya ialah solat sunat tarawih, iaitu solat pada malam bulan ramadhan. Nama sebenarnya seperti yang disebut dalam hadis sahih ialah solat Ramadhan (Qiyam Ramadhan)

Tarawih adalah kata jamak bagi tarwihah, ertinya berhenti rehat. Qiyam Ramadhan ini dilakukan dengan setiap empat rakaat berhenti rehat, maka empat rakaat itu dipanggil satu tarwihah, jika sembahyang itu 20 rakaat, maka akan ada lima tarwihah. Tidak ada hukum untuk berehat. Seseorang boleh sahaja terus sembahyang hingga habis tanpa berhenti.





Hikmah

Solat sunat tarawih (Qiyam Ramadhan) dilakukan pada tiap malam ramadhan secara berjemaah. Solat ini dilaksanakan dengan “berehat-rehat” kerana ia biasanya dilakukan di masjid secara berjemaah. Tujuan solat berehat-rehat untuk menggelakkan ketegangan badan selepas berbuka puasa, disamping memberikan keikhlasan dan ketenangan kepada orang yang sembahyang, khususnya orang yang berumur.

Solat ini digalakkan sebagai cara untuk menghidupkan malam bulan ramadhan. Nabi menggalakkan orang Qiyam Ramadhan, tanpa menjadikannya wajib. Baginda bersabda:“Siapa yang qiyam Ramadhan dengan beriman dan cermat(ihtisaban) akan diampuni dosanya yang lalu.” (Riwayat Jamaah).

Bulan Ramadhan bulan yang penuh berkat dan diberikan hikmat, antaranya ialah malam diturunkan Quran dan “Lailatul qadar”. Solat tarawih dapat menghapuskan segala dosa yang dilakukan oleh seseorang itu. Solat terawih ini jika dilakukan selain pada bulan ramadhan dipanggil solat malam (solat lail). Namun solat tarawih lebih utama kerana kedudukannya pada bulan Ramadhan. Solat ini tidak pernah ditinggalkan oleh Nabi, tetapi cara melakukannya ada kalanya berjemaah dimasjid dan ada kalanya tidak.

Cara-Cara

Solat sunat tarawih atau qiyam Ramadhan dilakukan selepas solat Isya’. Jumlah rakaatnya berbeza-beza antara lapan, dua puluh, tiga puluh dan sebagainya. Hadis Bukhari dan Muslim menyatakan bahawa Aisyah, isteri Nabi melhat Nabi bersolat tarawih dirumah sebanyak lapan rakaat . Dan terdapat amalan sahabat Nabi yang pernah menjadi imam solat tarawih pada zaman nabi, iaitu Ubai bin Kaab yang membuat solat ini sebanyak 20 rakaat (diriwayatkan oleh Bukhari).

Terdapat juga amalan penduduk Madinah melakukan solat tarawih 36 rakaat dan dalam hadis riwayat al-Baihaqi mengatakan ada sahabat yang solat tarawih 200 rakaat. Mereka berpendapat bahawa solat tarawih adalah nama lain bagi solat mutlak malam (Qiyamulail). Jika qiyamulail tidak dihadkan jumlah rakaatnya, maka qiyam Ramadhan pun demikian.

Solat sunat Ramadhan lapan rakaat , seperti yang dilihat oleh Aisyah dirumah adalah yang minimum. Jumlah ini dipilih oleh segelintir umat islam. Namun, solat tarawih 20 rakaat menjadi pilihan Imam Shafei, Hambali dan Hanafi. Alasannya ialah amalan 20 rakaat itu dilakukan oleh Ubai bin Kaab di masjid. Beliau yang pernah menjadi imam pada zaman Nabi, zaman Abu Bakar dan zaman Omar melakukan solat tarawih 20 rakaat, sehingga Omar pun menetapkan solat tarawih berjemaah dimasjid 20 rakaat.

Sebagai hamba kepada Allah yang ingin mengabdi dan berbakti, kita mempunyai pilihan dan kehendak diri sendiri. ini kerana,solat tarawih ini ibadat tambahan dan satu cara untuk menunjukkan kebaktian dan ketaatan kepada Allah. Maka Nabi menyuruh ia dilakukan mengikut kemampuan, keikhlasan dan kerelaan. Sekiranya memadai dengan lapan atau perlu ditambah hingga 20, bergantung pada individu itu sendiri.

Yang perlu diingatkan ialah manusia perlu menjaga kesihatan, perlu tidur dan perlu rehat seperti yang disabdakan oleh Nabi: “Adakah kamu yang memberitahu aku, kamu berpuasa disiang hari dan solat sepanjang malam?” Maka Abdullah bin Amru menjawab: “Benar!” Maka Nabi bersabda: “Jangan buat begitu. Tetapi puasalah, bukalah, solatlah dan tidurlah. Badan kamu ada hak dan mata kamu juga ada hak.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Solat tarawih dilakukan dengan setiap dua rakaat satu salam. Selepas membaca Fatihah, sunat membaca sebarang ayat ataupun surah daripada Quran, tidak kira pendek atau panjang atau berulang-ulang asalkan bacaan itu betul dan solat itu dibuat dengan tertib. Tidak ada hadis Nabi tentang bacaan surah ini.

Segala bacaan diluar solat, seperti salawat, doa dan periwayatan khalifah tidak termasuk amalan solat tarawih, tetapi hanya selingan antara solat. Tidak ada larangan untuk berselawat atau berdoa, jika cara dan adab melakukannya baik dan tidak menjejaskan solat tarawih jika ditinggalkan.

Lafaz niat:

أُصَلِّي سُنَّةَ التَّرَاوِيْحِ رَكْعَتَيْنِ لِلَّهِ تَعَالَى


“Usolli sunnatal tarawihhi rak’ataini makmuman lilaahi ta’ala”

Artinya:

“Sahaja saya solat sunat tarawih dua rakaat kerana Allah Ta’ala.”

Nota:

Semua solat sunat bersendirian boleh dilakukan secara duduk.

Niat dan Cara Mengerjakan Solat Tasbih

Tasbih membawa maksud menyucikan Allah dengan membaca subhanallah. Solat ini dinamakan solat sunat tasbih kerana solat ini dipenuhi dengan bacaan subhanallah. Solat sunat tasbih diajarkan oleh Nabi kepada Abbas, bapa saudaranya seperti didalam hadis:



“Wahai bapa saudaraku, sukakah anda kalau saya berikan sesuatu yang menguntungkan, iaitu Allah akan mengampun segala dosa yang lama, yang baru, yang awal, yang akhir, yang sengaja dan yang tidak sengaja, yang kelihatan dan yang tidak kelihatan, iaitu anda kerjakan solat empat rakaat, pada tiap-tiap rakaat baca Fatihah dan surah. Dan pada rakaat pertama selepas baca surah baca subhanallah wal-hamdullilah wa-lailaha ilallahu akbar, 15 kali; kemudian rukuk dan baca tasbih tersebut 10 kali, ketika iktidal baca 10 kali, ketika sujud baca 10 kali, ketika duduk baca 10 kali, maka semuanya 75 kali membaca tasbih pada setiap rakaat. Buatlah begitu dalam empat rakaat. Jika anda mampu buatlah setiap hari sekali, jika tidak mampu buatlah sebulan sekali, jika tidak mampu buatlah setahun sekali, jika tidak mampu buatlah seumur hidup sekali.” (Riwayat Abu Daud, Ibnu Majah, Ibnu Khuzaimah dan al-Tabrani).

Hikmah

Rahasia solat ini terletak pada bacaan tasbihnya. Solat ini juga, seperti disebutkan dalam hadis di atas, adalah untuk mengikis dosa-dosa lama atau baru, dosa sengaja atau tidak, dosa kecil dan besar, dosa yang nampak atau tidak. Namun, sebagai tambahan di sini dijelaskan bahawa tasbih atau membaca subhanallah, adalah amalan yang disukai Allah.

Sebuah hadis sahih mengatakan: “Dua frasa yang mudah disebut tetapi berat pahalanya dalam timbangan dan disukai oleh Allah al-Rahman ialah subhanallah wabihamdihi dan subhanallah al-azim.” (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Pada suatu hari Abu Zarr bertanya pada rasulullah: “Apakah kata-kata yang paling disukai Allah? Jawab Nabi: “Kata-kata itu ialah kata yang dipilih Allah untuk malaikatnya, iaitu subhanallah wabihamdihi, subhanallah al-azim.” (Riwayat Muslim).

Dengan itu, Allah memerintahkan manusia supaya bertasbih. contohnya:

“Maka bertasbihlah kamu kepada Tuhanmu Yang Agung.” (al-Waqiah: 64 & 69)
“Bertasbihlah kamu kepada Tuhanmu Yang Maha Tinggi.” (al-A’la: 1)
“Bertasbihlah kamu ketika berdiri.” (al-Tur: 48)
“Bertasbihlah pada petang dan pagi.” (Ali Imran: 41)



Ulama’ mengatakan tasbih bermakna menyucikan zat Allah - bahwa Allah itu bukan atom atau benda, menyucikan sifat Allah - bahwa Allah tidak baru dan tidak binasa dan tidak mempunyai sifat kekurangan, menyucikan nama Allah dengan memanggil-Nya dengan nama yang baik seperti yang disebut dalam Quran, menyucikan perbuatan Allah dari segi yang tidak patut, menyucikan hukum Allah dengan tidak mencerca hukum-hukum Nya.

Sekiranya seseorang Islam dapat menyucikan Allah daripada segala aspek yang negatif itu, maka barulah orang itu dikasihi Allah. Dengan mambaca lebih 300 kali tasbih dalam solat ini, sudah pastilah dosa-dosanya akan diampuni Allah.

Cara-Cara

Solat ini boleh dilakukan pada waktu siang atau malam. Ia empat rakaat, dua salam. Hadis sahih yang diriwayatkan oleh Ibnu Khuzaimah, solat ini empat rakaat. Selepas membaca Fatihah dan sebarang surah, bacalah tasbih pada rakaat pertama 15 kali, rakaat kedua, ketiga dan keempat tiap satu sepuluh kali.

Kalimah tasbih menjadi kunci solat ini. Dalam hadis Muslim, Nabi mengatakan: “Kata yang paling disukai Allah ialah subhanallah walhamdulillah wala ilaha illallahu wallahu akbar.”

Lafaz niat:

أُصَلِّى سُنَّةَ الْتَسْبِيْحِ رَكْعَتَيْنِ ِللهِ تَعَالىَ


“Usolli sunatal tasbihi arba’a rak’ataini lilaahi ta’ala”

Artinya: “Sahaja saya solat sunat tasbih dua rakaat kerana Allah Ta’ala.”

seterusnya:

1. Takbiratul Ihram
2. Doa Iftitah
3. Fatiha
4. Surah dan 15 kali tasbih
5. Rukuk dan 10 kali tasbih
6. Iktidal dan 10 kali tasbih
7. Sujud dan 10 kali tasbih
8. Duduk antara sujud dan 10 kali tasbih
9. Sujud kedua 10 kali tasbih
10. Selepas sujud kedua, baca 10 kali tasbih sebelum bangun

Setiap rakaat 75 kali tasbih, bermakna empat rakaat 300 kali tasbih.

Bagaimana Cara Mengerjakan Solat Sunat Taubat

Taubat bermaksud ingin berhenti dari melakukan dosa. Solat sunat taubat dikerjakan oleh seseorang yang mau memohon ampun daripada Allah selepas terjebak dengan melakukan kesalahan atau dosa. bertekad untuk tidak mengulanginya semula selama-lamanya.


Solat ini dalam hadis yang dibawa oleh Abu Bakar al-Siddiq seperti diriwayatkan oleh Turmuzi, hanya menyatakan solat meminta ampun; “Seseorang yang telah melakukan dosa, bersuci, bersolat dan meminta ampun, Allah akan mengampunkannya.”

Hikmah

Mengapa orang yang ingin berhenti membuat dosa atau perbuatan maksiat perlu bersusah payah mendirikan solat? Tidak cukupkah dengan dia berazam tidak mahu melakukannya dan meminta ampun akan dosa yang telah dilakukannya?

Jika seseorang itu selepas sedar dari membuat dosa lalu menyesal dan berazam tidak mahu melakukannya, dia biasanya tidak dapat bertahan lama. Dia akan mengulangi lagi membuat dosa itu apabila datang godaan.

Dalam Islam taubat bukanlah hanya sebelah pihak sahaja, iaitu orang yang bertaubat. Tetapi, melibatkan Allah, Tuhan yang maha pengampun. Allah akan memberi ampun dan menerima taubat seseorang, barulah seseorang akan berjaya berhenti daripada melakukan dosa atau maksiat. Maka jalan yang ditunjukkan oleh Nabi ialah setelah dia sedar, insaf dan mahu berhenti dari melakukan dosa, dia mesti melakukan solat taubat.

Cara-Cara

Solat sunat taubat hanya dua rakaat. Solat ini perlu dilakukan dengan kusyuk dan tawaduk dirumah, bersendirian tanpa menunjuk-nunjuk pada orang.

Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Turmuzi menggambarkan seseorang yang sedar dan insaf akan perbuatan dosanya, hendaklah dia membersihkan diri dengan mandi menyucikan diri dari kotoran najis, hadas kecil dan besar, wudhu’ kemudian lakukan solat fardhu dahulu, diikuti solat rawatib lalu dilakukan solat taubat, kemudian meminta ampun dari Allah. Selepas itu hendaklah melakukan solat witir.

Solat taubat boleh dilakukan dua rakaat, empat atau lebih. Rakaat pertama selepas Fatihah baca al-Kafirun dan rakat kedua al-Ikhlas. Selepas itu berdoa meminta ampun dari kesalahan yang dilakukan dan berjanji dihadapan Allah tidak akan membuatnya lagi.


Cara berdoa sama sahaja, iaitu dimulai dengan bismillah, alhamdulillah, selawat menyeru nama Allah yang sesuai dengan perasaan insaf anda nyatakan tentang perbuatan dosa yang dilakukan dan kekesalan anda. Mohon ampun dari Allah.

Lafaz niat:

أصَلِّي سُنَّةَ التَوبَةِ رَكَعَتَيْنِ لِلهِ تَعالىَ


“Usolli sunnatan taubati rak’ataini lilaahi ta’ala”

Artinya: “Sahaja saya solat sunat taubat dua rakaat kerana Allah Ta’ala.”

Rakaat pertama selepas Fatihah baca surah Qul Ya.
Rakaat kedua selepas Fatihah baca surah Qul Hu.
Selepas solat, munajatlah atau berkatalah kepada Allah akan kesilapan yang anda buat dan bermohon ampun dengan melafazkan:

اللَّهُمَّ أَنْتَ رَبِّي لاَ إِلَهَ إِلاَّ أَنْتَ خَلَقْتَنِي وَأَنَا عَبْدُكَ وَأَنَا عَلَى عَهْدِكَ وَوَعْدِكَ مَا اسْتَطَعْتُ أَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا صَنَعْتُ أَبُوءُ لَكَ بِنِعْمَتِكَ عَلَيَّ وَأَبُوءُ لَكَ بِذَنْبِي فَاغْفِرْ لِي فَإِنَّهُ ‏لاَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلاَّ أَنْتَ


Maksudnya :

“Ya Allah ! Engkaulah Tuhanku, tidak ada Tuhan melainkan Engkau, Engkau telah menjadikan daku dan aku adalah hambaMu dan aku di atas perintah dan perjanjianMu sekadar keupayaanku, aku berlindung denganMu dari kejahatan barang yang aku lakukan, aku mengaku bagiMu dengan nikmatMu ke atasku dan aku mengaku dengan dosaku, maka ampunilah bagiku, maka sesungguhnya tiada siapa yang dapat mengampunkan segala dosa melainkan Engkau” (Diriwayatkan oleh Bukhari).

Cara Mengerjakan Solat Sunat Witir

Witir bearti angka ganjil. Solat ini dinamakan witir kerana bilangan rakaatnya ganjil iaitu satu, tiga, lima, tujuh, sembilan dan sebelas. Solat sunat witir sentiasa dilakukan oleh Nabi tidak kira sama ada dirumah ataupun ketika musafir. Baginda tidak pernah meninggalkan solat ini. Baginda juga mengarahkan orang Islam membuatnya. Atas alasan ini kebanyakkan mazhab menjadikan witir solat sunat muakkad.

Masa Nabi mengerjakannya pada waktu malam, selepas solat fardhu Isya’ dan berpanjangan waktunya hingga fajar. Masa Nabi melakukannya juga berubah-ubah, ada kalanya pada awal malam, ada kalanya tengah malam dan ada kalanya di penghujung malam.

Hikmah

Solat ini mempunyai hikmah untuk membangunkan kekuatan diri atau syahsiah manusia. Solat ini termasuk dalam makna enam kualiti umat Islam yang diterangkan dalam Quran surah al-Fath:29

“Muhammad adalah Rasululah, dan para tenteranya amat gagah dihadapan orang kafir, amat lemah lembut diantara orang Islam, bersolat, mencari kekayaan yang disediakan Allah dan mencari keredaan-Nya. Mereka mempunyai tanda di muka mereka (bercahaya-cahaya/ceria) daripada terlalu kuat bersolat.”

Solat sunat witir tiga rakaat pada malam-malam bukan bulan Ramadhan dibuat selepas selesai solat malam lapan rakaat. Ada kalanya dibuat selepas solat tahajud. Pada malam bulan Ramadhan solat witir dibuat selepas solat tarawih. Nabi pernah mengajarkan supaya kita solat witir dahulu sebelum tidur.

Cara-Cara

Solat witir hanya boleh dilakukan selepas solat Isya’ didirikan. Ia sebaik-baiknya lebih afdal dilakukan pada akhir solat sunat, sebagai penutup amalan solat pada malam itu. Nabi bersabda:“Siapa yang berasa tidak dapat bangun dari tidur tengah malam, maka buatlah solat sunat witir pada malam awal malam. Siapa yakin dia boleh bangun, maka buatlah solat witir pada akhir malam. Sesungguhnya solat pada akhir malam itu ditonton oleh malaikat, maka solat itu lebih utama,” (Riwayat Muslim dan Ahmad).

Hadis itu diperkuatkan dengan hadis “Jadikan solat witir solat terakhirmu pada waktu malam.” (Bukhari dan Muslim). Namun, jika kita solat witir sebelum tidur, lalu terjaga pada dini hari dan ingin sembahyang tahajud, maka tidak perlu witir lagi, sebabnya Nabi bersabda: “Tidak ada dua witir dalam satu malam.”

Jumlah rakaat solat sunat witir yang dibuat oleh Nabi berbeza-beza. Ada kalanya baginda melakukannya dengan satu rakaat, tiga, lima, tujuh, sembilan hingga sebelas rakaat. Jika solat sunat witir itu tiga rakaat, maka sebaiknya dilakukan dua rakaat satu salam, kemudian diikuti dengan satu rakaat. Tetapi jikalau hendak melakukannya satu salam pun boleh, dengan syarat tidak ada tasyahhud pada rakaat kedua.

Jika memilih untuk melakukan satu rakaat juga boleh, iaitu dilakukan di penghujung solat malam mutlak. Yang penting diingat, solat witir adalah solat yang dilakukan rakaatnya ganjil. Jika solat sunat witir ini dilakukan di bulan Ramadhan, maka disunatkan membaca doa qunut, selepas setengah bulan Ramadhan. Doa qunut itu seperti doa qunut subuh.

Solat sunat witir boleh dilakukan secara berjemaah

BACAAN SURAH

Selepas membaca Al-Fatihah, seseorang dibolehkan membaca mana-mana ayat Quran. Walaupun begitu, jika solat sunat witir dilakukan tiga rakaat, maka Nabi mengajarkan supaya bacaan selepas Fatihah ialah: Rakaat pertama: 
Surah al-A’la atau sabbihis 
Rakaat kedua: 
Surah al-Kafirun atau Qul Ya 
Rakaat ketiga atau rakaat yang satu: 
Surah al-Ikhlas dan Mu’awwizatain, iaitu surah Qul Hu, Qul A’zu birabbil falaq, dan Qul A’uzu birabbin nas.

Lafaz niat untuk dua dan satu rakaat:

أُصَلِّي سُنَّةَ الوِتْرِ رَكْعَتَيْنِ/ رَكْعَةً لِلَّهِ تَعَالَى


“Usolli sunatal witri rak’ataini lilaahi ta’ala”

Artinya:“Sahaja saya solat sunat witir dua atau satu rakaat kerana Allah ta’ala”.

Tuntunan Solat Sunat Tahajud

Kata tahajud mengikut kamus lisan al-Arab berasal dari hajada, bererti tidur. Tahajada bererti bangun tidur. Jadi solat tahajud ialah solat malam yang dilakukan selepas seseorang itu tidur. Solat ini termasuk solat malam, tetapi khusus bagi orang yang tidur lalu terjaga. Solat ini disebut dalam Quran surah Isra’ (17) ayat 76:“Pada sebahagian malam buatlah solat tahajud sebagai tambahan.”

Hikmah

Solat ini pada peringkat awalnya wajib pada Nabi, tetapi kemudian selepas adanya solat fardhu lima waktu, solat tahajud ini menjadi sunat. Walaupun demikian, solat ini masih lagi penting, kerana solat ini dapat meningkatkan kedudukan orang yang mengamalkannya, sama ada di dunia atau di akhirat seperti yang disebut pada penghujung ayat di atas tadi.“Dengan solat tahajud ini, tuhan akan memberikan kamu kedudukan yang terpuji.”(Isra’: 78)

Hadis Nabi juga menyebut:“Siapa yang solat (tahajud) akan dinaikkan tarafnya satu tingkat dan dihapuskan kejahatannya satu.”(Muslim).

Permohonan manusia lebih dekat kepada Allah pada dini hari. Pengabdian manusia yang mengorbankan masa tidurnya yang sedap untuk bangun dan solat akan dipandang dan disukai oleh Allah. Hadis riwayat Bukhari dan Muslim menyatakan: Allah turun ke langit dunia pada setiap malam pada sepertiga malam terakhir, lalu berfirman:“Adakah orang berdoa, adakah orang yang bermohon, adakah orang yang meminta, lalu aku penuhi doa dan permintaannya.”

Cara-Cara

Solat tahajud boleh dilakukan lapan rakaat ataupun sepuluh rakaat. Semua solat itu dilakukan dua rakaat satu salam. kemudian diikuti dengan solat witir tiga rakaat. Solat ini berbeza dengan solat malam biasa dari segi masa, iaitu solat malam dilakukan sebelum tidur dan solat tahajud dilakukan selepas tidur.

Lafaz niat:

أُصَلِّي سُنَّةَ التَهَجُّدِ رَكْعَتَيْنِ لِلَّهِ تَعَالَى


“Usolli sunnatal tahajud rak’ataini lilaahi ta’ala”

Artinya:“Sahaja saya solat sunat tahajud dua rakaat kerana Allah Ta’ala.” 

(Selepas selesai solat, mohonlah kepada Allah).

Baca Juga : Doa Mujarab Solat Sunah Tahajud 

Keutamaan Solat Sunat Hajat

Hajat bermaksud keperluan. Solat hajat adalah solat untuk memenuhi keperluan. Sebenarnya solat hajat adalah solat untuk menyatakan permohonan seseorang secara umum kepada Allah. Terserah kepada Allah untuk mendengar dan menerimanya atau sebaliknya.

Solat hajat diambil daripada hadis Hasan yang diriwayatkan oleh Ahmad, yang mengatakan bahawa Abu Darda’ mendengar Nabi bersabda: “Siapa yang berwudhu’, kemudian solat dua rakaat dengan sempurna, Allah akan memberikan apa yang diminta, samada cepat atau lewat.” Hadis ini walau bagaimanapun tidak menunjukkan cara solat hajat dilakukan.

Hadis lain yang diriwayatkan oleh al-Dailami, mengatakan solat hajat 12 rakaat, seperti yang terdapat didalam kitab Ihya’ Ulumuddin oleh Imam al-Ghazali, adalah hadis yang amat daif. Begitu juga hadis “solat dua rakaat” yang diriwayatkan oleh Turmuzi, adalah hadis gharib. 

Hikmah

1) Berasa tenang setelah bebanan disampaikan kepada Allah SWT. 
2) Menjadi lebih bersifat ikhlas menerima ketentuan Allah. 
3) Permohonan dimakbulkan Allah SWT. 





Cara-Cara

Dalam hadis riwayat Ahmad itu solat hajat dua rakaat, tidak dijelaskan surah yang perlu dibaca selepas Fatihah. Maka itu bacalah surah al-Kafirun dan surah al-Ikhlas. Dalam sujud terakhir selepas tasbih, nyatakan hajat itu. Dalam hadis Muslim ada menyatakan: Allah amat dekat dengan manusia ketika sujud.
Lafaz Niat: 

أُصَلِّي سُنَّةَ الحَاجَةِ رَكْعَتَيْنِ للِّٰهِ تَعَالَى

“Usolli sunatan hajaati rak’ataini lilaahi ta’ala” 

artinya: “Sahaja saya solat sunat hajat dua rakaat kerana Allah Ta’ala.”

Pengertian dan Tata Cara Solat Sunat Istikharah

Istikharah bermaksud meminta orang lain memilihkan sesuatu yang terbaik untuk seseorang. Jadi solat istikharah ialah solat hajat yang khusus bagi seseorang yang mengalami masalah disebabkan keliru, rambang mata, takut, risiko, tidak jelas kedudukan atau kurang jelas buruk baiknya, selalu merasa resah dan gelisah, rasa terancam dan tidak aman atau sebagainya. Lalu memohon kepada Allah supaya menolong menyelesaikan masalah itu.



Biasanya manusia keliru apabila berhadapan dengan pilihan.

Dalam ayat Quran Allah memberi petunjuk cara menyelesaikan gelisah dengan melakukan solat yang berterusan, sama ada solat fardhu atau pun solat sunat. Maka solat istikharah ini adalah solat yang khusus disyariatkan untuk membantu manusia.

Maka itu untuk memantapkan pilihan, manusia mestilah meminta tolong dengan Allah. Bukankah pada setiap hari manusia Islam mengucapkan: “Hanya kepada Engkau saya sembah, hanya kepada Engkau saya meminta tolong.” (al-Fatihah: 5). Cara yang tepat dan betul ialah dengan melakukan solat istikharah, bukan berjumpa imam, bilal, bomoh, dukun, tukang tilik nasib, jin, hantu dan sebagainya.

Cara-Cara

Solat ini boleh dilakukan pada masa siang atau malam. Dalam hal ini sebenarnya Nabi tidak pernah melakukan, tetapi didalam satu hadis, seorang sahabat bernama Jabir berkata bahawa Nabi pernah mengajarnya cara beristikharah. Nabi bersabda: “Apabila kamu bercita-cita melakukan sesuatu yang terbaik, maka solatlah dua rakaat selain solat fardhu dan selepas solat bacalah doa.” (Riwayat Bukhari).

Disebabkan solat ini merupakan solat hajat, maka sebaik-baiknya dilakukan pada masa yang mujarab, iaitu pada tengah malam. Ketika syahdu itu, mulakan dengan membaca Quran atau sekurang-kurangnya surah yasin, kemudian diikuti dengan solat istikharah.

Solat istikharah dua rakaat. Pada rakaat pertama selepas Fatihah baca surah al-Kafirun, pada rakaat kedua sesudah Fatihah baca surah al-Ikhlas. Ingat bahawa kedua surah ini adalah asa kehidupan orang beragama Islam. Maka itu jangan hendaknya permohonan itu yang bertentangan dengan asas agama Islam. Jangan juga perkara yang wajib dilakukan atau haram dilakukan. Istikharah dibolehkan untuk perkara atau urusan yang harus.

Lafaz niat:

أُصَلِّى سُنَّةَ الإِسْتِخَارَةِ رَكْعَتَيْنِ ِللهِ تَعَالَى


“Usolli sunnatal istikharaati rak’ataini lilaahi ta’ala”

Artinya: “Sahaja saya solat sunat istikharah dua rakaat kerana Allah Ta’ala.”

Format doa:

1. Dimulakan dengan: A’uzu billahi minas syaitanir rajim
2. Basmalah - Bismillahir Rahmanir Rahim 3
3. Tahmid - Alhamdulillahi rabbil ‘alamin
4. Salawat - Allahumma Solli ‘ala Muhammad
5. Seru nama Allah yang indah (Asmaul Husna)
6. Nyatakan permohonan kepada Allah. 

Doa kita boleh menggunakan bahasa hati sendiri yang datang dari jiwa ikhlasnya, juga boleh dihafal dari doa yang ma’thurat (yang pernah dibuat oleh Nabi-Nabi atau yang diterangkan dalam Quran atau Hadis) dalam bahasa Arab ataupun terjemahnya. Untuk doa yang ma’thurat, pendoa mestilah faham makna doa itu. Jika tidak doa itu akan dianggap doa orang yang lalai (sahun).

Doa Ma’thurat

“Ya Allah, saya bermohon supaya Engkau pilihkan yang baik bagiku dengan ilmu-Mu. Saya bermohon kepastian dengan kuasa-Mu dan saya bermohon diberi anugerah yang besar dari-Mu. Sesungguhnya Engkau yang berkuasa, saya tidak berkuasa; Engkau tahu, saya tidak tahu; Engkau sahaja yang mengetahui segala yang ghaib. Ya Allah, jika perkara ini (sebutkan perkara itu) tidak baik bagiku, agamaku, kehidupanku, pada masa ini dan datang, maka jauhkanlah daripadaku, dan selamatkan aku dari mala petaka itu. Berikanlah kepadaku apa yang baik sahaja.”

Solat Sunat Istisqa Adalah

Istisqa dalam bahasa Arab bermaksud memohon, meminta atau mencari air. Dalam Quran, Nabi Musa meminta air dari Allah, lalu Allah bertitah supaya mengetuk batu, lalu memancut 12 air mata. Dalam hadis, istisqa digunakan unutuk memohon air, khususnya hujan. Ada kalanya berdoa didalam khutbah jumaat dan adakalanya mendirikan solat.

Istisqa Nabi adalah mukjizat Nabi, maka itu apabila Nabi istisqa hujan akan turun. Namun Nabi telah menurunkan cara istisqa ini kepada umat islam. Maka kemakbulan solat atau doa istisqa bergantung pada rahmat dan kehendak Allah.


Ulama fekah mentakrifkan istisqa sebagai memohon kepada Allah supaya memberikan air kepada manusia untuk keperluan mereka. Menurut Nawawi, solat istisqa adalah lebih afdal daripada hanya berdoa meminta hujan sahaja atau berdoa dalam khutbah sahaja. Jadi solat sunat istisqa ialah solat meminta didatangkan air atau diturunkan hujan yang berkat tidak hingga banjir. Hukumnya sunat Muakkad dan dilakukan secara berjemaah.

Hikmah

Solat ini sunat kerana dilakukan apabila keadaan amat mencemaskan seperti kemarau panjang atau telaga, sungai kering, ternakan dan tanaman mati. Nabi mendirikan solat secara berjemaah dengan dihadiri semua lapisan manusia sama ada kaya dan miskin, tua atau muda, sihat atau sakit, lelaki atau wanita. Selepas solat Nabi berkhutbah dan diakhiri dengan berdoa memohon supaya diturunkan hujan.

Solat ini penting untuk mengikut-sertakan masyarakat dalam menangani bencana kemarau yang melanda masyarakat itu. Solat dan berdoa adalah usaha yang suci untuk menyelamatkan ekonomi dan kehidupan umat. Sikap menyelamatkan diri daripada kebinasaan adalah dituntut oleh Islam. Maka itu penglibatan setiap orang dalam solat ini penting.

Khutbah hukumnya sunat. Khutbah ini akan memberikan kesedaran tentang maksud dugaan dan percubaan yang didatangkan oleh Allah kepada umatnya. Maka itu dalam khutbah ini diulangi sejarah umat zaman dahulu yang telah ditimpa malapetaka dan cara mereka melepaskan daripada bencana itu. Secara khusus diceritakan sejarah Nabi Muhammad mengatasi masalah kemarau, masalah gempa dan sebagainya. Khutbah ini juga menyebut nasihat Nabi supaya orang Islam bersabar dan mencari usaha untuk mendapatkan air. Setelah semua orang mantap dan khusyuk jiwa mereka, lalu imam dengan ikhlas dan syahdu berdoa meminta air atau hujan.

Cara-Cara

Semua golongan dan lapisan masyarakat yang terlibat dengan kemarau itu dikehendaki berpuasa selama tiga hari, dan bertaubat serta melakukan amal salih. semua penduduk yang berselisih mestilah berdamai dan bermaaf-maafan. Pada hari ke-empat, imam, ketua kaum, ketua negara atau raja juga semua penduduk membawa sekali haiwan ternakan atau binatang perliharaan. Maka didirikan solat dua rakaat, seperti solat hari raya.

Lafaz niat:

أُصَلِّي سُنَّةَ الإِسْتِسْقَاءِ رَكْعَتَيْنِ لِلَّهِ تَعَالَى


“Usolli sunnatal istisqaa-i rak’ataini lillaahi ta’ala”

Artinya: “Sahaja saya solat sunat istiqa dua rakaat makmum kerana Allah Ta’ala.”

Seterusnya:

1) Takbiratul Ihram
2) Baca doa Iftitah
3) Takbir tujuh kali
4) Baca Fatihah
5) Baca surah Sabbihis


Rakaat kedua:

6) Takbir lima kali
7) Baca Fatihah
8) Baca surah al-Ghasyiah


Sesudah selesai solat, diadakan pula khutbah dua kali. Khutbah pertama dimulai dengan membaca istighfar sembilan kali, diikuti dengan tahmid (alhamdullilah), syahadah dan selawat. Selepas itu dibaca ayat:

الْحَمْدُ ِللهِ رَبِّ الْعَالَمِين . الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ مَالِكِ يَوْمِ الدِّيْنِ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ يَفْعَلُ مَا يُرِيْدُ ، اللَّهُمَّ أَنْتَ اللهُ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ . أَنْتَ الْغَنِّيُ وَنَحْنُ الْفُقَرَاءُ ، أَنْزِلْ عَلَيْنَا الْغَيْثَ وَاجْعَلْ مَا أَنْزَلْتَ عَلَيْنَا قُوَّةً وَبَلاًغًا إِلَى حِيْنَ .


Maksudnya:

“Segala puji bagi Allah pemelihara alam semesta, Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Raja hari kiamat, tiada Tuhan selain Allah, Yang berbuat menurut kehendak-Nya. Ya Allah, Engkaulah Allah yang tiada Tuhan selain-Mu. Engkaulah Maha Kaya, sedangkan kami adalah papa, turunkanlah kepada kami hujan, dan jadikanlah apa yang Engkau turunkan itu menjadi bekal sampai beberapa lama.”

Khutbah pertama ditutup dengan doa:

“Ya Allah ya Rahman, siramilah kami air hujan yang banyak, yang menyegarkan, yang menyenangkan, yang meluas dan menyuburkan selama-lamanya. Ya Allah ya Rahim, sesungguhnya kami dan negeri kamitelah ditimpa kesusahan, kemelaratan dan kepayahan, maka kami mengadu kepadamu, supaya Engkau angkatkan bala tersebut dari kami. Tumbuhkanlah pohon dan tanaman yang subur dikebun kami dan banyakkan hasil pertanian kami. Ya Allah ya Ghaffar, kami mohon ampun dan minta supaya diturunkan hujan.”

Khutbah kedua dimulai dengan istighfar tujuh kali, dan diikuti dengan tahmid dan selawat dan seterusnya khutbah, diakhiri dengan doa.

Doa pada akhir khutbah kedua ini, imam berpusing mengadap kiblat, mengangkat tangan keatas, menadah ke langit, hujung serban diterbalikkan dan membaca doa meminta hujan. Contohnya:

“Ya Allah ya Karim, siramilah kami dengan air hujan, siramilah semua hamba-Mu, haiwan ternakan dan tebarkanlah rahmat-Mu, hidupkanlah tanah ditempat kami yang telah kering. Ya Allah, Engkaulah Allah, tidak ada tuhan lain melainkan Engkau yang maha kaya. Kami sesungguhnya amat memerlukan Engkau. Ya Allah ya arhamar rahimin, turunkan air hujan kepada kami, dan jadikanlah air yang Engkau turunkan itu kekuatan dan kesihatan selama-lamanya.”

Doa meminta hujan boleh menggunakan bahasa Melayu atau bahasa tempatan yang mudah difahami oleh jemaah. Kata imam Nawawi, harus berdoa dengan doa derita (al-karbi), iaitu doa yang selalu diulang-ulang oleh Nabi ketika mendapat kesusahan.

Doanya:

اللَّهُمَّ اسْقِ عِبَادَكَ وَبَهَائِمَكَ وَانْشُرْ رَحْمَتَكَ وَأَحْيِ بَلَدَكَ الْمَيِّتَ


Maksudnya:

“Ya Allah siramilah hamba-Mu dan haiwan-haiwan ternakan-Mu dan sebarkanlah rahmatMu dan hidupkanlah negeri-Mu yang mati”

Tuntunan Solat Sunat Rawatib

Rawatib artinya rangkaian berterusan, yaitu solat sunat yang dirangkaikan dengan solat fardhu, sebelum atau pun selepasnya. Sesetengah ulama’ menggelarkan solat ini dengan tawabi’ al-furud, yaitu solat ikutan fardhu. Solat ini ada yang sunat muakkad dan juga sunat biasa.

Hikmah

Solat yang sentiasa dilakukan oleh Nabi, tidak pernah ditinggalkan tetapi tidak pernah dilakukan secara berjemaah ialah solat rawatib. Solat ini penting kerana ia bertindak sebagai pelengkap dan penampal segala yang kurang ketika melakukan solat fardhu, seperti kurang khusyu’, was-was, tersilap baca ayat dan lain-lain lagi.



Pengarang kitab Fathul Mubin, Sheikh Zainuddin mengatakan:“Solat sunat ini disyariatkan untuk menyempurnakan kekurangan yang berlaku ketika melakukan sembahyang fardhu.

Manusia yang pada setiap masa dikelilingi oleh syaitan, amat sukar untuk melakukan solat fardhu yang sempurna. Jika dia telah melakukan sesuatu yang membatalkan solat, dia wajib mengulangi semula solatnya itu. Namun jika kesalahan itu disebabkan kekilafann, tidak khusyu’ ataupun kesalahan kecil, maka manusia diberikan kesempatan untuk memperbaiki dan menampung mana yang kurang dengan melakukan solat sunat rawatib. Amalan Allah amat keras seperti yang terdapat didalam surah al-Maun:“Celakalah orang yang solat tetapi tidak sedar dalam solatnya.”

Solat rawatib terbahagi kepada dua, yaitu rawatib muakkad dan rawatib tidak muakkad. Rawatib muakkad bermaksud solat sunat yang sentiasa dibuat oleh Nabi manakala rawatib tidak muakkad ialah solat sunat yang kadang-kadang tidak dibuat oleh Nabi. Namun fungsinya sama, yaitu untuk memperbaiki mana yang kurang dalam solat waktu. Al-Ghazali berkata bahawa orang tidak melakukan solat rawatib ditakuti membawa solat fardhunya tidak lengkap.

Solat rawatib muakkad itu sepuluh rakaat dalam lima waktu iaitu:

Dua rakaat sebelum solat Subuh
Dua rakaat sebelum solat Dzuhur
Dua rakaat selepas solat Dzuhur
Dua rakaat selepas solat Maghrib
Dua rakaat selepas solat Isya’.


Solat rawatib bukan muakkad mempunyai dua belas rakaat iaitu:

Dua rakaat sebelum solat Dzuhur
Dua rakaat selepas solat Dzuhur
Empat rakaat sebelum solat Asar
Dua rakaat sebelum solat Maghrib
Dua rakaat sebelum solat Isya’.


Keseluruhan rakaat jika dicampurkan dengan solat fardhu sehari semalam ialah 39 rakaat.


Solat sunat sebelum solat waktu itu tujuannya untuk menjadikan diri dan jiwa sesorang itu tenang dahulu, selepas masghul atau sibuk bekerja. Ia juga sebagai pembuka solat seterusnya. Setelah tenang maka barulah dilaksanakan solat fardhu. Alasan ini dapat difahami daripada ayat Quran:“Dirikanlah solat untuk mengingati aku.” (Taha; 14). Maka solat sunat sebelum adalah sebagai perintis mengingati Allah. Apabila selesai melakukan solat dua rakaat sunat dan dia telah hadir dengan mengingati Allah maka barulah melakukan solat fardhu.

Solat rawatib yang amat penting ialah solat dua rakaat sebelum subuh. Nabi tidak pernah meninggalkannya sama ada ketika dirumah atau ketika musafir. Baginda bersabda:“Bahawa solat sunat subuh ini lebih baik daripada dunia ini dan seisinya.” (Riwayat Muslim) Solat dilakukan oleh Nabi secara ringkas sahaja. Ayat pertama yang dibaca oleh Nabi pada rakaat pertama ialah surah al-Kafirun dan pada rakaat kedua surah al-Ikhlas.

HARI JUMA'AT

Pada hari Jumaat tidak hadis merakamkan Nabi sembahyang dua rakaat qiblah. Tetapi ada hadis yang menggalakkan solat zawal empat rakaat sebelum sembahyang fardhu Jumaat, berdasarakan hadis Solat Sunat Zawal. Ataupun dua rakaat antara dua Azan. Selepas solat fardhu Jumaat, Nabi solat sunat dua rakaat atau pun empat rakaat.

Cara-Cara

Lafaz niat solat-solat sunat rawatib:

أصَلِّي سُنَّةَ الظُّهْرِ / المَغْرِبِ / العِشَاءِ قَبْلِيَةً رَكَعَتَيْنِ لِلهِ تَعالىَ


Artinya:“Sahaja aku menunaikan solat sunat (Dzuhur / Asar / Isyak / Subuh) dua rakaat Sebelum nya kerana Allah Taala.”

أصَلِّي سُنَّةَ الظُّهْرِ / المَغْرِبِ / العِشَاءِ بَعْدِيَّةً رَكَعَتَيْنِ لِلهِ تَعالىَ


Artinya:“Sahaja aku menunaikan solat sunat (Dzuhur / Asar / Isyak / Subuh) dua rakaat Selepasnya kerana Allah Taala.”

SURAH AL-KAFIRUN DAN AL-IKHLAS

Dalam kebanyakan solat sunat rawatib, selepas membaca Fatihah, Nabi membaca dua surah ini. Kenapa Nabi memilih dua surah ini? sebabnya, dua surah ini adalah asas aqidah atau kepercayaan Islam. Surah al-Kafirun menolak semua amalan atau kepercayaan yang bukan Islam dari diamalkan oleh orang Islam. Surah al-Ikhlas pula menegaskan keEsaan Allah yang menjadi asas agama Islam dan melepaskan diri manusia dari amalan syirik.

Maka itu hidup orang Islam di mulai dengan peringatan tentang asas kepercayaannya dengan membaca dua surah ini dalam solat sunat sebelum subuh dan disudahi dengan membaca surah tersebut juga pada solat witir. Itulah sebabnya Nabi pernah mengatakan surah tersebut sebagai“surah yang paling nikmat”.

Solat Sunat Khusuf Dan Kusuf

Solat sunat muakkad berjemaah kedua yang utama ialah solat gerhana, sama ada gerhana bulan (al-khusuf) ataupun gerhana matahari (al-kusuf). Solat ini disyariatkan pada Rabiul Awal tahun 10 Hijrah bersamaan Jun 631 Masehi. Pada hari itu berlaku gerhana matahari. Mengikut kepercayaan karut orang jahiliah, apabila berlaku gerhana maka sesuatu buruk telah berlaku di bumi.

Hikmah

Ramai orang bertanya, mengapa kita sembahyang gerhana, sedangkan gerhana adalah kejadian alam? Memang, dalam Islam gerhana adalah kejadian sunnah Allah, seperti disebut oleh Nabi: “Bahawa matahari dan bulan adalah salah satu dari ayat Allah, bila berlaku gerhana maka bukanlah disebabkan seseorang mati atau hidup. Apabila berlaku maka bertakbirlah, dan bersedekah dan dirikan solat”. (Bukhari, Muslim, Nasai)

Tujuannya jelas, untuk menolak perkara atau kepercayaan khurafat tentang kejadian gerhana. Seperti dikatakan orang Arab percaya gerhana berlaku disebabkan kematian raja, wali atau sebagainya. Dikalangan masyarakat tradisional, baik di Eropah, Afrika mahupun Asia, kepercayaan karut tentang kejadian gerhana memang ada. Malah ia wujud didalam masyarakat tradisional Melayu. Ada masyarakat yang sujud kepada matahari atau bulan ketika gerhana. Mengaitkan kejadian di bumi dengan gerhana amat ditentang oleh Islam.

Solat yang didirikan pada masa gerhana bukanlah untuk menyelamatkan bulan mahupun matahari, bukan juga untuk mengelakkan bala yang akan datang. Sebaliknya untuk meningkatkan keimanan kepada Allah, disamping menanamkan pemikiran saintifik dalam budaya Islam. Orang Islam dikehendaki mengetahui dan sentiasa menyedari peranan matahari dan bulan dalam kehidupan manusia dan hidupan lain dibumi.

Maka itu, mengikut Quran, orang Islam lelaki dan perempuan dikehendaki memelihara bumi dan ekologinya, supaya tidak rosak dan tercemar. Dengan mendirikan solat gerhana dan mendengar khutbahnya, diharapkan manusia sedar akan tanggungjawab menjaga bumi Allah, dan berasa kerdil dan lemah terhadap keagungan Allah.

Solat ini lebih utama dilakukan secara berjemaah, namun boleh juga dilakukan secara bersendirian.

Cara-Cara

Apabila berlaku gerhana, maka umat Islam lelaki atau wanita yang berada ditempat berlakunya gerhana itu, berhimpun di masjid atau pun di surau, mendirikan solat gerhana secara berjemaah. Jika tidak dapat berjemaah, solat boleh dilakukan besendirian. Jika gerhana sudah selesai, tidak perlu sembahyang gerhana.

Mengikut Riwayat Bukhari dan Muslim, dan diputuskan oleh mazhab Shafei, bahawa solat itu dua rakaat, setiap rakaat mempunyai dua qiam, dua bacaan Fatihah, dua rukuk dan dua sujud. Jadi jumlah keseluruhannya mempunyai empat qiam, empat bacaan Fatihah, empat rukuk dan empat sujud.

Lafaz niat gerhana bulan:

أُصَلِّى سُنَّةَ الخُسُوفِ رَكْعَتَينِ للهِ تَعَالَى


“Usolli sunnatal khusufi rak’ataini lillaahi ta’ala”

Artinya: “Sahaja saya solat sunat gerhana bulan dua rakaat kerana Allah Ta’ala.”

Lafaz niat gerhana matahari:

أُصَلِّى سُنَّةَ الْكُسُوفِ رَكْعَتَينِ للهِ تَعَالَى


“Usolli sunnatal kusufi rak’ataini lillaahi ta’ala”

Artinya:

“Sahaja saya solat sunat gerhana matahari dua rakaat kerana Allah Ta’ala.”

Seterusnya:
  1. Takbiratul Ihram 
  2. Baca doa Iftitah 
  3. Baca Al-Fatihah 
  4. Baca surah atau ayat Quran
  5. Rukuk - baca tasbih sebanyak-banyaknya 
  6. Iktidal 
  7. Baca Fatihah 
  8. Baca surah atau ayat Quran 
  9. Rukuk 
  10. Iktidal 
  11.  Sujud - baca tasbih sebanyak-banyaknya 
  12. Duduk 
  13. sujud kedua - baca tasbih sebanyak-banyaknya 
  14. Ulangi yang sama untuk rakaat yang kedua. Dan pada rakaat kedua, selepas tahiyat, tasyahhud dan selawat diakhiri dengan salam.

Dalam solat ini, bagi orang biasa bacalah surah yang senang dan lancar, Surah as-Syams pada qiam pertama, surah al-Lail pada qiam kedua, surah Qul-Hu pada qiam ketiga dan Qul A’uzubirabbil falaq pada qiam ke-empat.

Sekiranya berjemaah maka sunat diadakan khutbah gerhana menerangkan fakta kejadian gerhana dan mengaitkannya dengan kepercayaan kepada Allah. Menyarankan supaya umat Islam berpegang pada fakta ilmu pengetahuan yang betul, dan tidak percaya kepada khurafat dan kepercayaan karut. Memberikan penerangan kepada makmum supaya taat kepada Allah dan jangan membuat kerosakan di muka bumi.

Tata Cara Solat Sunat Jenazah

Solat jenazah hukumnya adalah fardhu kifayah. Umat Islam sunat melakukannya sama ada bersendirian ataupun berjemaah. sama ada dapat hadir di hadapan mayat atau pun tidak. sama ada sebelum di kubur atau pun selepas di kubur.

Solat jenazah untuk mendoakan orang yang meninggal dunia, orang yang melakukannya mendapat pahala yang besar di sebut pahala solat fardhu.

Hikmah

Ulama mengatakan orang islam seharusnya solat jenazah beramai-ramai. semakin ramai, semakin baik. Nabi bersabda “Solatlah kamu semua atas jenazah sahabat-sahabat kamu” (Riwayat Bukhari).

Sebuah hadis sahih mengatakan:“tiap mayat disolatkan oleh umat Islam, yang mencapai 100 orang, semuanya berdoa minta pertolongan, nescaya dia akan ditolong” (Riwayat Muslim, Ibnu Majah, Nasai, Turmuzi)

Orang yang melakukan solat jenazah akan diberikan ganjaran pahala yang besar. Sabda Nabi, “Siapa melawat jenazah dan solat jenazah, maka dia di berikan pahala satu qirat. Jika dia turut mengiringi jenazah itu hingga selesai dikuburkan, maka dia mendapat dua qirat. Satu qirat sama sebesar gunung Uhud” (Riwayat Bukhari, Muslim dan Nasai).

Sabda Rasulullah jelas mengatakan bahawa pahala solat jenazah lebih besar dari pahala solat sunat yang lain. Solat ini membantu menghapuskan dosa ditanggung oleh si mati. Maka itu solat ini digalakkan, kerana ia menjadi syiar kepada kesatuan umat Islam, terutamanya apabila seseorang mendapat kedukaan atau kesusahan seperti kematian.

Cara-Cara

Caranya mudah, hanya berdiri sahaja. Ambil wudhu’ mengadap kiblat dan ucapkan niat yang sesuai, diikuti dengan empat takbir. Empat takbir ini wajib, bagi mahzab Shafei.

Semua golongan boleh melakukannya, lelaki, perempuan, tua, muda. Seelok-eloknya didirikan solat berjemaah, Supaya angkanya mencapai seratus orang atau lebih. Jika seseorang terlewat dan mayat telah dikuburkan, maka dia boleh solat mayat diatas kubur. Jika dia berada di negeri lain, maka seseorang itu boleh melakukan solat jenazah dari jauh, iaitu solat ghaib. Dalam mahzab Shafei, hal ini di benarkan hingga selewat-lewatnya sebulan.

Berikut adalah cara-cara mendoakan orang yang telah meninggal dunia, yang diajarkan oleh Nabi. Bukan sekadar menghadiahkan Fatihah atau bacaan surah Ikhlas.

Lafaz niatnya:

أُصَلِّي عَلَى هَذَا اْلمَيِّتِ أَرْبَعَ تَكْبِيْرَاتٍ فَرْضَ كِفَايَةِ للهِ تَعَالَى


“Usolli 'alaa haadzal mayyiti lillaahi ta'aala”

Artinya: “Sahaja aku solat untuk mayat ini empat takbir, fardhu kerana Allah Ta’ala”

Ketika niat, lafazkan Takbiratul Ihram: Allahu Akbar. Seterusnya, baca Al-Fatihah, lafazkan takbir kedua: Allahu Akbar. Kemudian, baca selawat: Allahumma Solli ‘ala Muhammad. Selepas selawat, lafazkan takbir ketiga: Allahu Akbar.

Kemudian, baca doa:

أَللَّهُمَّ اغْفِرْلَهُ وَارْحَمْهُ وَعَافِهِ وَاعْفُ عَنْهُ وَأَكْرِمْ نُزُلَهُ وَوَسِعْ مَدْخَلَهُ وَاغْسِلْهُ بِالْمَاءِ وَالْثَلْجِ وَالْبَرَدِ، وَنَقِّهِ مِنَ الْخَطَايَا كَمَا نَقَّيْتُ الثَّوْبَ الأَبْيَضَ مِنَ الدَّنَسِ، وَأَبْدِلْهُ دَارًا خَيْرًا مِنْ دَارِهِ ، وَأَهْلاً خَيْرًا مِنْ أَهْلِهِ وَزَوْجًا خَيْرًا مِنْ زَوْجِهِ ، وَأَدْخِلْهُ الْجَنَّةَ ، وَأَعِذْهُ مِنْ عَذَابِ اْلقَبْرِ وَمِنْ عَذَابِ النَّارِ


Maknanya:

“Ya Allah, ampunilah baginya dan kasihilah dia dan afiatkan dia dan maafkanlah kesalahannya dan muliakan kedudukannya dan lapangkan kuburnya dan bersihkan dia dengan air salju dan air dingin. Bersihkanlah dia dari kesalahannya sebagaimana dibersihkan kain putih dari kekotoran, dan gantikanlah kampunganya dengan kampung yang lebih baik dan ahli keluarganya yang baik, suami isteri yang lebih baik. Masukkanlah dia ke dalam syurga dan lindungilah dia dari seksa kubur dan fitnahnya dan dari seksa neraka.”

Selepas doa, lafazkan takbir ke-empat: Allahu Akbar. Kemudian lafazkan salam: Assalamualaikum, dan palingkan kepala ke kanan, dan lafazkan: Assalamualaikum sekali lagi dan paling ke kiri.

(Selepas takbir ke-empat, sebelum salam, boleh juga baca doa sunat)


أَللَّهُمَّ لاَ تَحْرِمْنَا أَجْرَهُ وَلاَ تَفْتِنَّا بَعْدَهُ وَاغْفِرْلَنَا وَلَهُ وَلإِخْوَانِنَا الَّذِيْنَ سَبَقُوْنَا بِالإِيْمَانِ وَلاَ تَجْعَلْ فِى قُلُوْبِنَا غِلاَّ لِلَّذِيْنَ آمَنُوْا رَبَّنَا إِنَّكَ رَؤُوْفٌ رَحِيْمٌ


Maknanya:

“Ya Allah, janganlah Engkau haramkan permohonan kami untuk kebajikannya dan janganlah Engkau membiarkan kami di timpa fitnah setelah ketiadaannya dan ampunkanlah kami dan dia juga rakan kami yang terdahulu beriman dan janganlah Engkau sematkan perasaan hasad dengki kedalam hati kami terhadap orang-orang yang beriman. Tuhan kami, sesungguhnya Engkau bersifat pengasih dan penyanyang.”

Doa yang di baca sebaiknya memohon keampunan untuk si mati, dilepaskan dari seksa kubur dan dari seksa api neraka. Ditambah dengan doa untuk keselamatan dan ketenangan ahli keluarganya. Doa itu boleh didoakan dalam bahasa masing-masing atau dalam bahasa Arab. Sebaik-baik doa adalah dilafazkan dengan ikhlas. Doa yang ikhlas adalah doa yang difahami maksudnya.

Sabda Nabi: “Apabila kamu solat ke atas mayat, maka doakan dia dengan ikhlas” (Riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah).

Doa panjang yang pernah dibaca oleh Nabi ialah:“Ya Allah! Ampunilah dosanya, dan cucurilah rahmat kepadanya, maafkanlah dia, sejahterakanlah dia, muliakan tempatnya, luaskan jalan masuknya, mandikanlah dia dengan air, salji dan embun. Bersihkan dirinya dari kesalahan seputih baju yang putih, gantikan rumahnya dengan yang lebih baik, gantilah keadaan keluarganya dengan yang lebih baik, dan ubahkanlah keadaan isterinya dengan yang lebih baik, masukkanlah dia kedalam surga. Jauhkanlah dia dari seksa kubur dan fitnahnya, dan jauhkan dia dari seksa api neraka’” (Muslim Ibnu majah).

Lafaz niat solat jenazah mayat perempuan.


أُصَلِّي عَلَى هَذِهِ اْلمَيْتَةِ أَرْبَعَ تَكْبِيْرَاتٍ فَرْضَ كِفَايَةِ للهِ تَعَالَى


“Sahaja aku solat keatas ini mayat perempuan empat takbir fardhu kifayah kerana Allah taala”.

Lafaz niat solat jenazah mayat lelaki.

أُصَلِّي عَلَى هَذَا اْلمَيِّتِ أَرْبَعَ تَكْبِيْرَاتٍ فَرْضَ كِفَايَةِ للهِ تَعَالَى


“Sahaja aku solat keatas ini mayat lelaki empat takbir fardhu kifayah kerana Allah taala”.

Lafaz niat solat jenazah mayat kanak-kanak Lelaki.


أُصَلِّى عَلَى هَذَا اْلمَيِّتِ الطِفْلِ اَرْبَعَ تَكْبِيْرَاتٍ فَرْضَ كِفَايَةِ للهِ تَعَالَى


“Sahaja aku sembahyang atas mayat kanak-kanak lelaki empat takbir fardhu kifayah kerana Allah Taala”.

Lafaz niat solat jenazah mayat kanak-kanak perempuan.

أُصَلِّى عَلَى هَذِهِ اْلمَيْتَةِ الطِفْلَةِ اَرْبَعَ تَكْبِيْرَاتٍ فَرْضَ كِفَايَةِ للهِ تَعَالَى


“Sahaja aku sembahyang atas mayat kanak-kanak perempuan empat takbir fardhu kifayah kerana Allah Taala”.

Lafaz niat solat jenazah bagi imam ditambah perkataan إِمَامًا.

أُصَلِّي عَلَى هَذِهِ اْلمَيْتَةِ أَرْبَعَ تَكْبِيْرَاتٍ فَرْضَ كِفَايَةِ إِمَامًا للهِ تَعَالَى


“Sahaja aku solat keatas ini mayat perempuan empat takbir fardhu kifayah menjadi imam kerana Allah taala”.

Lafaz niat solat jenazah bagi makmum ditambah perkataan 

 مَأْمُوْمًا  

أُصَلِّي عَلَى هَذِهِ اْلمَيْتَةِ أَرْبَعَ تَكْبِيْرَاتٍ فَرْضَ كِفَايَةِ مَاْمُوْماً للهِ تَعَالَى


“Sahaja aku solat keatas ini mayat perempuan empat takbir fardhu kifayah mengikut imam kerana Allah taala”.

Kemudian bertakbir dengan takbir yang pertama (takbiratul ihram) disertai dengan niat di hati, kemudian baca Al-Fatihah.

Takbiratul ihram

اَ للهُ اَكْبَرُ


“Allah Maha Besar”.

Beserta dengan niat

“Sahaja aku solat keatas ini mayat perempuan/lelaki/kanak lelaki/kanak perempuan empat takbir fardhu kifayah menjadi imam/mengikut imam kerana Allah taala”.

Mengerjakan Solat Sunat Hari Raya

Al-id artinya hari gembira yang berulang setiap tahun. Atau didalam bahasa melayu nya disebut Hari Raya. Ada dua hari raya yang disyariatkan dalam Islam iaitu, Aidulfitri dan Aiduladha. Orang Melayu menyebutnya dengan Aidilfitri dan Aidiladha. Mazhab Shafei memutuskan dua solat ini sunat muakkad, bukan wajib atau fardhu kifayah. Hari raya disambut pada Syawal ataupun pada pagi 10 Zulhijjah. Cara menyambut hari raya tersebut ialah dengan melakukan Solat Hari Raya.

Hikmah 

Seperti yang dinyatakan Id bermaksud gembira yang berulang-ulang. Menurut pendapat ulama’, pada hari raya Aidilfitri umat Islam gembira kerana telah melakukan ibadat puasa pada bulan Ramadhan yang berjaya membersihkan diri daripada dosa dan perkara lain. Aidiladha pula dilakukan selepas wukuf di padang Arafah, dan juga melebur dosa manusia.

Pada hari gembira tersebut solat Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha disyariatkan sebagai cara bagi orang Islam merayakan hari gembira, menggantikan cara orang Arab jahilliah menyambut hari raya. Pada hari raya orang jahilliah bersuka ria mengucapkan terima kasih kepada patung dan berhala. Apabila Nabi berhijrah ke Madinah, orang Madinah mempunyai dua hari besar untuk bersuka ria, iaitu warisan jahilliah. Nabi telah menggantikan cara hari raya itu disambut. Nabi bersabda: “Allah telah menggantikan hari raya jahiliah kamu dengan dua hari raya yang lebih baik, iaitu Aidilfitri dan Aidiladha.”(Riwayat Al-Baihaqi-hadis sahih)

Hari raya yang pertama dirayakan oleh Nabi dan orang Islam ialah Aidilfitri, pada tahun kedua Hijrah. Pada ketika itulah difardhukan zakat fitrah. Pada pagi hari raya ini Nabi menyuruh orang Islam, lelaki, perempuan, musafir, tua, muda, kanak-kanak, anak dara atau teruna, orang yang haid atau buta, orang kaya atau miskin, keluar menuju masjid atau tempat lapang untuk merayakan hari raya dan menyaksikan kebaikan. (Bukhari dan Muslim, Ibnu Majah).

Mereka memakai pakaian yang cantik dan serba baru, memakai perhiasan dan wangi-wangian. Para ulama menamakan perihal tersebut dengan “al-tajammul”. Tiap-tiap tahun Nabi dan orang-orang Islam melakukan sedemikian. Nabi memakai burda hibrah (pakaian cara orang Yaman) pada tiap-tiap tahun.

Kanak-kanak juga digalakkan supaya dipakaikan perhiasan dengan sebaik-baiknya, kerana merekalah sebenarnya yang paling gembira. Pendapat ini disepakati oleh semua sahabat Shafei.

Nabi bertakbir dengan takbir khas hari raya yang dibacakan sepanjang malam satu Syawal dan pagi itu, dan sepanjang 10 Zulhijjah hinggalah hari Tasyriq. Pada pagi sebelum keluar rumah, atau sebelum solat, disunatkan semua orang supaya memakan sarapan, ini kerana Nabi makan dahulu sebelum keluar menunaikan sembahyang Aidilfitri.

Pada pagi itu juga, sebelum solat adalah masa terakhir bagi umat Islam yang hidup dan mampu, menunaikan bayaran zakat fitrah. Pada pagi hari raya juga orang fakir dan miskin akan menerima habuan zakat fitrah dan sedekah, disamping diajak makan oleh orang berada, supaya suasana kegembiraan dapat dirasai bersama.
Pada hari raya Aidiladha, orang miskin akan mendapat habuan daging korban. Sebuah hadis menyatakan: “Cukupkan keperluan orang miskin pada hari raya ini supaya mereka tidak meminta sedekah” (Darul Qutni dan Baihaqi).
Pada hari raya juga orang Islam membuat makanan yang banyak. Selain membayar zakat fitrah, mereka juga digalakkan menjamu dan bersedekah kepada fakir miskin.
Nabi memberitahu umatnya: “Hari Tasyriq adalah hari makan dan minum dan mengingati Allah.” Nabi juga bersabda: “Aidilfitri adalah hari semua orang makan, Aidiladha adalah hari semua orang berkorban.

Pada hari raya umat Islam digalakkan untuk saling ziarah menziarahi sambil mengucapkan tahniah seperti “Taqabbalallah minna wa minka.”(Semoga Allah menerima amal kami dan anda) (Riwayat Baihaqi)
Kemuncak hari raya itu adalah mendirikan Solat Hari Raya yang istimewa, iaitu dimulakan dengan tujuh takbir pada rakaat pertama, dan lima takbir pada rakaat kedua. Solat ini digalakkan dilakukan berjemaah. 

Jika seseorang itu berada sendirian dinegeri bukan Islam atau tidak dapat ke masjid, dia disunatkan sembahyang dirumah, atau dimana sahaja secara bersendirian.
Selepas solat, sunat diadakan khutbah hari raya. Dalam khutbah itu sunat melafazkan sembilan takbir dalam khutbah pertama, dan tujuh takbir dalam khutbah kedua. Isi kandungan khutbah Aidilfitri ialah tentang galakan bersedekah dan menderma, supaya jemaah dapat menghulurkan bantuan kepada yang memerlukan.

Cara-Cara

Solat hari raya dilakukan dua rakaat, rakaat pertama dimulai dengan tujuh takbir, baru membaca Fatihah dan surah. Rakaat kedua dimulai dengan lima takbir, baru diikuti dengan Fatihah dan surah. Kepada yang terlepas jemaah, boleh melakukannya sendirian di masjid, ataupun dirumah. Selepas sembahyang sunat diadakan khutbah hari raya. Semua orang Islam termasuk yang haid, dikehendaki mendengar khutbah ini. Itulah tujuan Nabi menyuruh semua orang hadir ke masjid, iaitu untuk bertemu dengan orang Islam dan mendengar khutbah hari raya. 

Lafaz niat Aidilfitri: 

أُصَلِّي سُنَّةَ لِعِيْدِ الْفِطْرِ رَكْعَتَيْنِ مَأْمُوْمًا لِلَّهِ تَعَالَى

“Usolli sunnatal li’ldil fitri rak’ataini makmuman lillaahi ta’ala.

Artinya: “Sahaja saya solat sunat Aidil Fitri dua rakaat kerana Allah Ta’ala.”

Lafaz niat Aidiladha: 

اصَلِّي سُنَّة عيد الأضحي رَكعَتَينِ للهِ تَعَالَي


“Usolli sunnatal li’iidIl adha rak’ataini makmuman lillaahi ta’ala”

Artinya: “Sahaja saya solat sunat Aidil Adha dua rakaat kerana Allah Ta’ala.”

Seterusnya:
  1. Takbiratul Ihram - Allahu Akbar (Wajib) 
  2. Doa Iftitah (Sunat) 
  3. Takbir pertama - hingga takbir ketujuh (Sunat) 
  4. Ketika takbir sunat diangkat tangan seperti Takbiratul Ihram. (Sunat) 
  5. Selepas takbir, baca Subhanallah walhamdulillah wala ilaha illal Lahu wallahu akbar (Sunat) 
  6. Selepas takbir ketujuh, baca fatihah (Wajib) 
  7. Selepas Fatihah, baca surah Sabbihis atau surah Qul Ya (Sunat) 
  8. Rukuk (Wajib) 
  9. Iktidal (Wajib) 
  10. Sujud (Wajib) 
  11. Duduk (Wajib) 
  12. Sujud kedua (Wajib)
  13. Qiam untuk rakaat kedua 
  14. Pada rakaat kedua, lepas takbir qiam: takbir lima kali (Sunat) 
  15. Selepas itu baca tasbih seperti diatas (Sunat) 
  16. Selepas takbir kelima, baca Fatihah (Wajib) 
  17. Selepas Fatihah, baca surah Hal Ataka atau surah Qul Hu (Sunat) 
  18. Seterusnya, iaitu rukuk, sujud, duduk, sujud, duduk tahyiat, tasyahhud, selawat dan salam

Hikmah dan Cara Solat Sunat Dhuha

Dhuha artinya pagi selepas matahari naik hinggalah matahari hampir tegak, yaitu antara pukul 8.00 pagi hingga 12.00 tengah hari.

Solat ini dibuat oleh Nabi dan digalakkan para sahabat membuatnya. Nabi diriwayatkan melakukan solat dhuha delapan rakaat dirumah Ummi Hani di Makkah, sebaik sahaja baginda berjaya menawan kota Makkah. (Riwayat Bukhari).

Namun dalam hadis lain, Aishah mengatakan Nabi solat dhuha empat rakaat. (Riwayat Muslim). Dalam hadis lain Abu Zarr mengatakan bahawa Nabi bersabda: “Cukuplah solat sunat dhuha iaitu dua rakaat (untukmu).” (Riwayat Muslim, Abu Daud dan Ahmad).

Hadis-hadis sahih ini menunjukkan Nabi solat lapan rakaat ketika baginda mencapai kemenangan besar, empat rakaat pada keadaan biasa dan menyuruh Abu Zarr (sahabat Nabi) melakukan solat sunat dhuha dua rakaat sahaja.

Hikmah

Sebuah hadis riwayat Muslim, Ahmad dan Abu Daud yang bersumberkan Abu Zarr menyatakan: “Setiap pagi semua sendi manusia bersedekah iaitu dengan melakukan dua rakaat solat sunat dhuha sama seperti sedekah membaca tasbih, membaca tahmid, membaca tahlil, membaca takbir, membuat amar makruf dan menjauhi mungkar.

Hadis ini menunjukkan solat sunat dhuha itu mempunyai kaitan dengan sendi manusia yang jumlahnya 360. Sesungguhnya apabila manusia melakukan solat, semua sendinya terlibat. Sekiranya ada sendi yang sakit maka seseorang itu akan merasainya. Setiap sendi itu ketika bersolat mendapat pahala sedekah. Maka apabila seseorang selesai melakukan solat dhuha dia akan memperolehi 360 sedekah, yang jumlahnya sama dengan pahala sedekah orang bertasbih, bertahmid, bertahlil, bertakbir dan sebagainya.

Dari hadis ini ulama’ menyelami rahsia solat dhuha, dan mengatakan solat ini dapat menjaga kesihatan terutama menjaga sendi supaya terhindar dari sakit sendi. Wallahu a’lam.

Solat ini digambarkan dalam Quran dengan solat bukrah dalam surah al-Insan (71) ayat:25: “Sebutkan nama tuhanmu pada waktu pagi.” Dalam ayat ini Allah menyuruh manusia supaya memulakan kerja dengan solat dhuha.

Ulama percaya bahawa solat dhuha akan menceriakan hidup manusia dan mengundang rezeki kepadanya. Ini berdasarkan pada hadis sahih; “Wahai anak Adam, lakukanlah solat dhuha sebelah pagi, nanti Allah penuhi hajat keperluanmu pada waktu petang.” (Riwayat Abu Daud dan Turmuzi).

Dalam ayat yang lain, Tuhan menyuruh solat pada waktu dhuha ini untuk membina ketahanan, kesabaran dan kegigihan seperti yang terdapat dalam ayat sebelumnya. “Sabarlah melakukan undang-undang Tuhan dan janganlah melanggarnya.” (al-Insan: 24). 

Cara-Cara 

Solat dhuha boleh dilakukan dua, empat, enam atau delapan rakaat. Masa solat dhuha ialah kira-kira pukul 8.00 pagi waktu semenanjung Malaysia atau pukul 7.00 pagi waktu sabah hinggalah matahari tegak, kira-kira pukul 12.00 tengah hari. (Pada masa terbit matahari hingga naik sekadar batang tombak, 3 meter adalah waktu makruh melakukan solat sunat. Demikian juga ketika matahari tegak betul 90 derajat).
Jumlah rakaat yang biasa dilakukan ialah dua rakaat. pada rakaat pertama selepas Fatihah, baca surah Wad-dhuha dan pada rakaat kedua selepas fatihah baca surah al-Nasr.

Lafaz niat:

أصَلِّي سُنَّةَ الضُحَى رَكَعَتَيْنِ لِلهِ تَعالىَ


“Usolli sunnatal dhuha rak’ataini lilaahi ta’ala” 

Artinya:“Sahaja saya solat dhuha dua rakaat kerana Allah Ta’ala” 

Doa: Selepas selesai solat, mohonlah kepada Allah supaya kesihatan semua anggota badan terpelihara dan pada hari itu dan seterusnya dikurniakan rezeki yang banyak.