Cara Mengerjakan Solat Sunat Witir

Witir bearti angka ganjil. Solat ini dinamakan witir kerana bilangan rakaatnya ganjil iaitu satu, tiga, lima, tujuh, sembilan dan sebelas. Solat sunat witir sentiasa dilakukan oleh Nabi tidak kira sama ada dirumah ataupun ketika musafir. Baginda tidak pernah meninggalkan solat ini. Baginda juga mengarahkan orang Islam membuatnya. Atas alasan ini kebanyakkan mazhab menjadikan witir solat sunat muakkad.

Masa Nabi mengerjakannya pada waktu malam, selepas solat fardhu Isya’ dan berpanjangan waktunya hingga fajar. Masa Nabi melakukannya juga berubah-ubah, ada kalanya pada awal malam, ada kalanya tengah malam dan ada kalanya di penghujung malam.

Hikmah

Solat ini mempunyai hikmah untuk membangunkan kekuatan diri atau syahsiah manusia. Solat ini termasuk dalam makna enam kualiti umat Islam yang diterangkan dalam Quran surah al-Fath:29

“Muhammad adalah Rasululah, dan para tenteranya amat gagah dihadapan orang kafir, amat lemah lembut diantara orang Islam, bersolat, mencari kekayaan yang disediakan Allah dan mencari keredaan-Nya. Mereka mempunyai tanda di muka mereka (bercahaya-cahaya/ceria) daripada terlalu kuat bersolat.”

Solat sunat witir tiga rakaat pada malam-malam bukan bulan Ramadhan dibuat selepas selesai solat malam lapan rakaat. Ada kalanya dibuat selepas solat tahajud. Pada malam bulan Ramadhan solat witir dibuat selepas solat tarawih. Nabi pernah mengajarkan supaya kita solat witir dahulu sebelum tidur.

Cara-Cara

Solat witir hanya boleh dilakukan selepas solat Isya’ didirikan. Ia sebaik-baiknya lebih afdal dilakukan pada akhir solat sunat, sebagai penutup amalan solat pada malam itu. Nabi bersabda:“Siapa yang berasa tidak dapat bangun dari tidur tengah malam, maka buatlah solat sunat witir pada malam awal malam. Siapa yakin dia boleh bangun, maka buatlah solat witir pada akhir malam. Sesungguhnya solat pada akhir malam itu ditonton oleh malaikat, maka solat itu lebih utama,” (Riwayat Muslim dan Ahmad).

Hadis itu diperkuatkan dengan hadis “Jadikan solat witir solat terakhirmu pada waktu malam.” (Bukhari dan Muslim). Namun, jika kita solat witir sebelum tidur, lalu terjaga pada dini hari dan ingin sembahyang tahajud, maka tidak perlu witir lagi, sebabnya Nabi bersabda: “Tidak ada dua witir dalam satu malam.”

Jumlah rakaat solat sunat witir yang dibuat oleh Nabi berbeza-beza. Ada kalanya baginda melakukannya dengan satu rakaat, tiga, lima, tujuh, sembilan hingga sebelas rakaat. Jika solat sunat witir itu tiga rakaat, maka sebaiknya dilakukan dua rakaat satu salam, kemudian diikuti dengan satu rakaat. Tetapi jikalau hendak melakukannya satu salam pun boleh, dengan syarat tidak ada tasyahhud pada rakaat kedua.

Jika memilih untuk melakukan satu rakaat juga boleh, iaitu dilakukan di penghujung solat malam mutlak. Yang penting diingat, solat witir adalah solat yang dilakukan rakaatnya ganjil. Jika solat sunat witir ini dilakukan di bulan Ramadhan, maka disunatkan membaca doa qunut, selepas setengah bulan Ramadhan. Doa qunut itu seperti doa qunut subuh.

Solat sunat witir boleh dilakukan secara berjemaah

BACAAN SURAH

Selepas membaca Al-Fatihah, seseorang dibolehkan membaca mana-mana ayat Quran. Walaupun begitu, jika solat sunat witir dilakukan tiga rakaat, maka Nabi mengajarkan supaya bacaan selepas Fatihah ialah: Rakaat pertama: 
Surah al-A’la atau sabbihis 
Rakaat kedua: 
Surah al-Kafirun atau Qul Ya 
Rakaat ketiga atau rakaat yang satu: 
Surah al-Ikhlas dan Mu’awwizatain, iaitu surah Qul Hu, Qul A’zu birabbil falaq, dan Qul A’uzu birabbin nas.

Lafaz niat untuk dua dan satu rakaat:

أُصَلِّي سُنَّةَ الوِتْرِ رَكْعَتَيْنِ/ رَكْعَةً لِلَّهِ تَعَالَى


“Usolli sunatal witri rak’ataini lilaahi ta’ala”

Artinya:“Sahaja saya solat sunat witir dua atau satu rakaat kerana Allah ta’ala”.

1 comment: