Solat Sunat Istisqa Adalah

Istisqa dalam bahasa Arab bermaksud memohon, meminta atau mencari air. Dalam Quran, Nabi Musa meminta air dari Allah, lalu Allah bertitah supaya mengetuk batu, lalu memancut 12 air mata. Dalam hadis, istisqa digunakan unutuk memohon air, khususnya hujan. Ada kalanya berdoa didalam khutbah jumaat dan adakalanya mendirikan solat.

Istisqa Nabi adalah mukjizat Nabi, maka itu apabila Nabi istisqa hujan akan turun. Namun Nabi telah menurunkan cara istisqa ini kepada umat islam. Maka kemakbulan solat atau doa istisqa bergantung pada rahmat dan kehendak Allah.


Ulama fekah mentakrifkan istisqa sebagai memohon kepada Allah supaya memberikan air kepada manusia untuk keperluan mereka. Menurut Nawawi, solat istisqa adalah lebih afdal daripada hanya berdoa meminta hujan sahaja atau berdoa dalam khutbah sahaja. Jadi solat sunat istisqa ialah solat meminta didatangkan air atau diturunkan hujan yang berkat tidak hingga banjir. Hukumnya sunat Muakkad dan dilakukan secara berjemaah.

Hikmah

Solat ini sunat kerana dilakukan apabila keadaan amat mencemaskan seperti kemarau panjang atau telaga, sungai kering, ternakan dan tanaman mati. Nabi mendirikan solat secara berjemaah dengan dihadiri semua lapisan manusia sama ada kaya dan miskin, tua atau muda, sihat atau sakit, lelaki atau wanita. Selepas solat Nabi berkhutbah dan diakhiri dengan berdoa memohon supaya diturunkan hujan.

Solat ini penting untuk mengikut-sertakan masyarakat dalam menangani bencana kemarau yang melanda masyarakat itu. Solat dan berdoa adalah usaha yang suci untuk menyelamatkan ekonomi dan kehidupan umat. Sikap menyelamatkan diri daripada kebinasaan adalah dituntut oleh Islam. Maka itu penglibatan setiap orang dalam solat ini penting.

Khutbah hukumnya sunat. Khutbah ini akan memberikan kesedaran tentang maksud dugaan dan percubaan yang didatangkan oleh Allah kepada umatnya. Maka itu dalam khutbah ini diulangi sejarah umat zaman dahulu yang telah ditimpa malapetaka dan cara mereka melepaskan daripada bencana itu. Secara khusus diceritakan sejarah Nabi Muhammad mengatasi masalah kemarau, masalah gempa dan sebagainya. Khutbah ini juga menyebut nasihat Nabi supaya orang Islam bersabar dan mencari usaha untuk mendapatkan air. Setelah semua orang mantap dan khusyuk jiwa mereka, lalu imam dengan ikhlas dan syahdu berdoa meminta air atau hujan.

Cara-Cara

Semua golongan dan lapisan masyarakat yang terlibat dengan kemarau itu dikehendaki berpuasa selama tiga hari, dan bertaubat serta melakukan amal salih. semua penduduk yang berselisih mestilah berdamai dan bermaaf-maafan. Pada hari ke-empat, imam, ketua kaum, ketua negara atau raja juga semua penduduk membawa sekali haiwan ternakan atau binatang perliharaan. Maka didirikan solat dua rakaat, seperti solat hari raya.

Lafaz niat:

أُصَلِّي سُنَّةَ الإِسْتِسْقَاءِ رَكْعَتَيْنِ لِلَّهِ تَعَالَى


“Usolli sunnatal istisqaa-i rak’ataini lillaahi ta’ala”

Artinya: “Sahaja saya solat sunat istiqa dua rakaat makmum kerana Allah Ta’ala.”

Seterusnya:

1) Takbiratul Ihram
2) Baca doa Iftitah
3) Takbir tujuh kali
4) Baca Fatihah
5) Baca surah Sabbihis


Rakaat kedua:

6) Takbir lima kali
7) Baca Fatihah
8) Baca surah al-Ghasyiah


Sesudah selesai solat, diadakan pula khutbah dua kali. Khutbah pertama dimulai dengan membaca istighfar sembilan kali, diikuti dengan tahmid (alhamdullilah), syahadah dan selawat. Selepas itu dibaca ayat:

الْحَمْدُ ِللهِ رَبِّ الْعَالَمِين . الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ مَالِكِ يَوْمِ الدِّيْنِ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ يَفْعَلُ مَا يُرِيْدُ ، اللَّهُمَّ أَنْتَ اللهُ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ . أَنْتَ الْغَنِّيُ وَنَحْنُ الْفُقَرَاءُ ، أَنْزِلْ عَلَيْنَا الْغَيْثَ وَاجْعَلْ مَا أَنْزَلْتَ عَلَيْنَا قُوَّةً وَبَلاًغًا إِلَى حِيْنَ .


Maksudnya:

“Segala puji bagi Allah pemelihara alam semesta, Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Raja hari kiamat, tiada Tuhan selain Allah, Yang berbuat menurut kehendak-Nya. Ya Allah, Engkaulah Allah yang tiada Tuhan selain-Mu. Engkaulah Maha Kaya, sedangkan kami adalah papa, turunkanlah kepada kami hujan, dan jadikanlah apa yang Engkau turunkan itu menjadi bekal sampai beberapa lama.”

Khutbah pertama ditutup dengan doa:

“Ya Allah ya Rahman, siramilah kami air hujan yang banyak, yang menyegarkan, yang menyenangkan, yang meluas dan menyuburkan selama-lamanya. Ya Allah ya Rahim, sesungguhnya kami dan negeri kamitelah ditimpa kesusahan, kemelaratan dan kepayahan, maka kami mengadu kepadamu, supaya Engkau angkatkan bala tersebut dari kami. Tumbuhkanlah pohon dan tanaman yang subur dikebun kami dan banyakkan hasil pertanian kami. Ya Allah ya Ghaffar, kami mohon ampun dan minta supaya diturunkan hujan.”

Khutbah kedua dimulai dengan istighfar tujuh kali, dan diikuti dengan tahmid dan selawat dan seterusnya khutbah, diakhiri dengan doa.

Doa pada akhir khutbah kedua ini, imam berpusing mengadap kiblat, mengangkat tangan keatas, menadah ke langit, hujung serban diterbalikkan dan membaca doa meminta hujan. Contohnya:

“Ya Allah ya Karim, siramilah kami dengan air hujan, siramilah semua hamba-Mu, haiwan ternakan dan tebarkanlah rahmat-Mu, hidupkanlah tanah ditempat kami yang telah kering. Ya Allah, Engkaulah Allah, tidak ada tuhan lain melainkan Engkau yang maha kaya. Kami sesungguhnya amat memerlukan Engkau. Ya Allah ya arhamar rahimin, turunkan air hujan kepada kami, dan jadikanlah air yang Engkau turunkan itu kekuatan dan kesihatan selama-lamanya.”

Doa meminta hujan boleh menggunakan bahasa Melayu atau bahasa tempatan yang mudah difahami oleh jemaah. Kata imam Nawawi, harus berdoa dengan doa derita (al-karbi), iaitu doa yang selalu diulang-ulang oleh Nabi ketika mendapat kesusahan.

Doanya:

اللَّهُمَّ اسْقِ عِبَادَكَ وَبَهَائِمَكَ وَانْشُرْ رَحْمَتَكَ وَأَحْيِ بَلَدَكَ الْمَيِّتَ


Maksudnya:

“Ya Allah siramilah hamba-Mu dan haiwan-haiwan ternakan-Mu dan sebarkanlah rahmatMu dan hidupkanlah negeri-Mu yang mati”

0 comments:

Post a Comment