Tuntunan Solat Sunat Rawatib

Rawatib artinya rangkaian berterusan, yaitu solat sunat yang dirangkaikan dengan solat fardhu, sebelum atau pun selepasnya. Sesetengah ulama’ menggelarkan solat ini dengan tawabi’ al-furud, yaitu solat ikutan fardhu. Solat ini ada yang sunat muakkad dan juga sunat biasa.

Hikmah

Solat yang sentiasa dilakukan oleh Nabi, tidak pernah ditinggalkan tetapi tidak pernah dilakukan secara berjemaah ialah solat rawatib. Solat ini penting kerana ia bertindak sebagai pelengkap dan penampal segala yang kurang ketika melakukan solat fardhu, seperti kurang khusyu’, was-was, tersilap baca ayat dan lain-lain lagi.



Pengarang kitab Fathul Mubin, Sheikh Zainuddin mengatakan:“Solat sunat ini disyariatkan untuk menyempurnakan kekurangan yang berlaku ketika melakukan sembahyang fardhu.

Manusia yang pada setiap masa dikelilingi oleh syaitan, amat sukar untuk melakukan solat fardhu yang sempurna. Jika dia telah melakukan sesuatu yang membatalkan solat, dia wajib mengulangi semula solatnya itu. Namun jika kesalahan itu disebabkan kekilafann, tidak khusyu’ ataupun kesalahan kecil, maka manusia diberikan kesempatan untuk memperbaiki dan menampung mana yang kurang dengan melakukan solat sunat rawatib. Amalan Allah amat keras seperti yang terdapat didalam surah al-Maun:“Celakalah orang yang solat tetapi tidak sedar dalam solatnya.”

Solat rawatib terbahagi kepada dua, yaitu rawatib muakkad dan rawatib tidak muakkad. Rawatib muakkad bermaksud solat sunat yang sentiasa dibuat oleh Nabi manakala rawatib tidak muakkad ialah solat sunat yang kadang-kadang tidak dibuat oleh Nabi. Namun fungsinya sama, yaitu untuk memperbaiki mana yang kurang dalam solat waktu. Al-Ghazali berkata bahawa orang tidak melakukan solat rawatib ditakuti membawa solat fardhunya tidak lengkap.

Solat rawatib muakkad itu sepuluh rakaat dalam lima waktu iaitu:

Dua rakaat sebelum solat Subuh
Dua rakaat sebelum solat Dzuhur
Dua rakaat selepas solat Dzuhur
Dua rakaat selepas solat Maghrib
Dua rakaat selepas solat Isya’.


Solat rawatib bukan muakkad mempunyai dua belas rakaat iaitu:

Dua rakaat sebelum solat Dzuhur
Dua rakaat selepas solat Dzuhur
Empat rakaat sebelum solat Asar
Dua rakaat sebelum solat Maghrib
Dua rakaat sebelum solat Isya’.


Keseluruhan rakaat jika dicampurkan dengan solat fardhu sehari semalam ialah 39 rakaat.


Solat sunat sebelum solat waktu itu tujuannya untuk menjadikan diri dan jiwa sesorang itu tenang dahulu, selepas masghul atau sibuk bekerja. Ia juga sebagai pembuka solat seterusnya. Setelah tenang maka barulah dilaksanakan solat fardhu. Alasan ini dapat difahami daripada ayat Quran:“Dirikanlah solat untuk mengingati aku.” (Taha; 14). Maka solat sunat sebelum adalah sebagai perintis mengingati Allah. Apabila selesai melakukan solat dua rakaat sunat dan dia telah hadir dengan mengingati Allah maka barulah melakukan solat fardhu.

Solat rawatib yang amat penting ialah solat dua rakaat sebelum subuh. Nabi tidak pernah meninggalkannya sama ada ketika dirumah atau ketika musafir. Baginda bersabda:“Bahawa solat sunat subuh ini lebih baik daripada dunia ini dan seisinya.” (Riwayat Muslim) Solat dilakukan oleh Nabi secara ringkas sahaja. Ayat pertama yang dibaca oleh Nabi pada rakaat pertama ialah surah al-Kafirun dan pada rakaat kedua surah al-Ikhlas.

HARI JUMA'AT

Pada hari Jumaat tidak hadis merakamkan Nabi sembahyang dua rakaat qiblah. Tetapi ada hadis yang menggalakkan solat zawal empat rakaat sebelum sembahyang fardhu Jumaat, berdasarakan hadis Solat Sunat Zawal. Ataupun dua rakaat antara dua Azan. Selepas solat fardhu Jumaat, Nabi solat sunat dua rakaat atau pun empat rakaat.

Cara-Cara

Lafaz niat solat-solat sunat rawatib:

أصَلِّي سُنَّةَ الظُّهْرِ / المَغْرِبِ / العِشَاءِ قَبْلِيَةً رَكَعَتَيْنِ لِلهِ تَعالىَ


Artinya:“Sahaja aku menunaikan solat sunat (Dzuhur / Asar / Isyak / Subuh) dua rakaat Sebelum nya kerana Allah Taala.”

أصَلِّي سُنَّةَ الظُّهْرِ / المَغْرِبِ / العِشَاءِ بَعْدِيَّةً رَكَعَتَيْنِ لِلهِ تَعالىَ


Artinya:“Sahaja aku menunaikan solat sunat (Dzuhur / Asar / Isyak / Subuh) dua rakaat Selepasnya kerana Allah Taala.”

SURAH AL-KAFIRUN DAN AL-IKHLAS

Dalam kebanyakan solat sunat rawatib, selepas membaca Fatihah, Nabi membaca dua surah ini. Kenapa Nabi memilih dua surah ini? sebabnya, dua surah ini adalah asas aqidah atau kepercayaan Islam. Surah al-Kafirun menolak semua amalan atau kepercayaan yang bukan Islam dari diamalkan oleh orang Islam. Surah al-Ikhlas pula menegaskan keEsaan Allah yang menjadi asas agama Islam dan melepaskan diri manusia dari amalan syirik.

Maka itu hidup orang Islam di mulai dengan peringatan tentang asas kepercayaannya dengan membaca dua surah ini dalam solat sunat sebelum subuh dan disudahi dengan membaca surah tersebut juga pada solat witir. Itulah sebabnya Nabi pernah mengatakan surah tersebut sebagai“surah yang paling nikmat”.

1 comment: