Mengerjakan Solat Sunat Hari Raya

Al-id artinya hari gembira yang berulang setiap tahun. Atau didalam bahasa melayu nya disebut Hari Raya. Ada dua hari raya yang disyariatkan dalam Islam iaitu, Aidulfitri dan Aiduladha. Orang Melayu menyebutnya dengan Aidilfitri dan Aidiladha. Mazhab Shafei memutuskan dua solat ini sunat muakkad, bukan wajib atau fardhu kifayah. Hari raya disambut pada Syawal ataupun pada pagi 10 Zulhijjah. Cara menyambut hari raya tersebut ialah dengan melakukan Solat Hari Raya.

Hikmah 

Seperti yang dinyatakan Id bermaksud gembira yang berulang-ulang. Menurut pendapat ulama’, pada hari raya Aidilfitri umat Islam gembira kerana telah melakukan ibadat puasa pada bulan Ramadhan yang berjaya membersihkan diri daripada dosa dan perkara lain. Aidiladha pula dilakukan selepas wukuf di padang Arafah, dan juga melebur dosa manusia.

Pada hari gembira tersebut solat Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha disyariatkan sebagai cara bagi orang Islam merayakan hari gembira, menggantikan cara orang Arab jahilliah menyambut hari raya. Pada hari raya orang jahilliah bersuka ria mengucapkan terima kasih kepada patung dan berhala. Apabila Nabi berhijrah ke Madinah, orang Madinah mempunyai dua hari besar untuk bersuka ria, iaitu warisan jahilliah. Nabi telah menggantikan cara hari raya itu disambut. Nabi bersabda: “Allah telah menggantikan hari raya jahiliah kamu dengan dua hari raya yang lebih baik, iaitu Aidilfitri dan Aidiladha.”(Riwayat Al-Baihaqi-hadis sahih)

Hari raya yang pertama dirayakan oleh Nabi dan orang Islam ialah Aidilfitri, pada tahun kedua Hijrah. Pada ketika itulah difardhukan zakat fitrah. Pada pagi hari raya ini Nabi menyuruh orang Islam, lelaki, perempuan, musafir, tua, muda, kanak-kanak, anak dara atau teruna, orang yang haid atau buta, orang kaya atau miskin, keluar menuju masjid atau tempat lapang untuk merayakan hari raya dan menyaksikan kebaikan. (Bukhari dan Muslim, Ibnu Majah).

Mereka memakai pakaian yang cantik dan serba baru, memakai perhiasan dan wangi-wangian. Para ulama menamakan perihal tersebut dengan “al-tajammul”. Tiap-tiap tahun Nabi dan orang-orang Islam melakukan sedemikian. Nabi memakai burda hibrah (pakaian cara orang Yaman) pada tiap-tiap tahun.

Kanak-kanak juga digalakkan supaya dipakaikan perhiasan dengan sebaik-baiknya, kerana merekalah sebenarnya yang paling gembira. Pendapat ini disepakati oleh semua sahabat Shafei.

Nabi bertakbir dengan takbir khas hari raya yang dibacakan sepanjang malam satu Syawal dan pagi itu, dan sepanjang 10 Zulhijjah hinggalah hari Tasyriq. Pada pagi sebelum keluar rumah, atau sebelum solat, disunatkan semua orang supaya memakan sarapan, ini kerana Nabi makan dahulu sebelum keluar menunaikan sembahyang Aidilfitri.

Pada pagi itu juga, sebelum solat adalah masa terakhir bagi umat Islam yang hidup dan mampu, menunaikan bayaran zakat fitrah. Pada pagi hari raya juga orang fakir dan miskin akan menerima habuan zakat fitrah dan sedekah, disamping diajak makan oleh orang berada, supaya suasana kegembiraan dapat dirasai bersama.
Pada hari raya Aidiladha, orang miskin akan mendapat habuan daging korban. Sebuah hadis menyatakan: “Cukupkan keperluan orang miskin pada hari raya ini supaya mereka tidak meminta sedekah” (Darul Qutni dan Baihaqi).
Pada hari raya juga orang Islam membuat makanan yang banyak. Selain membayar zakat fitrah, mereka juga digalakkan menjamu dan bersedekah kepada fakir miskin.
Nabi memberitahu umatnya: “Hari Tasyriq adalah hari makan dan minum dan mengingati Allah.” Nabi juga bersabda: “Aidilfitri adalah hari semua orang makan, Aidiladha adalah hari semua orang berkorban.

Pada hari raya umat Islam digalakkan untuk saling ziarah menziarahi sambil mengucapkan tahniah seperti “Taqabbalallah minna wa minka.”(Semoga Allah menerima amal kami dan anda) (Riwayat Baihaqi)
Kemuncak hari raya itu adalah mendirikan Solat Hari Raya yang istimewa, iaitu dimulakan dengan tujuh takbir pada rakaat pertama, dan lima takbir pada rakaat kedua. Solat ini digalakkan dilakukan berjemaah. 

Jika seseorang itu berada sendirian dinegeri bukan Islam atau tidak dapat ke masjid, dia disunatkan sembahyang dirumah, atau dimana sahaja secara bersendirian.
Selepas solat, sunat diadakan khutbah hari raya. Dalam khutbah itu sunat melafazkan sembilan takbir dalam khutbah pertama, dan tujuh takbir dalam khutbah kedua. Isi kandungan khutbah Aidilfitri ialah tentang galakan bersedekah dan menderma, supaya jemaah dapat menghulurkan bantuan kepada yang memerlukan.

Cara-Cara

Solat hari raya dilakukan dua rakaat, rakaat pertama dimulai dengan tujuh takbir, baru membaca Fatihah dan surah. Rakaat kedua dimulai dengan lima takbir, baru diikuti dengan Fatihah dan surah. Kepada yang terlepas jemaah, boleh melakukannya sendirian di masjid, ataupun dirumah. Selepas sembahyang sunat diadakan khutbah hari raya. Semua orang Islam termasuk yang haid, dikehendaki mendengar khutbah ini. Itulah tujuan Nabi menyuruh semua orang hadir ke masjid, iaitu untuk bertemu dengan orang Islam dan mendengar khutbah hari raya. 

Lafaz niat Aidilfitri: 

أُصَلِّي سُنَّةَ لِعِيْدِ الْفِطْرِ رَكْعَتَيْنِ مَأْمُوْمًا لِلَّهِ تَعَالَى

“Usolli sunnatal li’ldil fitri rak’ataini makmuman lillaahi ta’ala.

Artinya: “Sahaja saya solat sunat Aidil Fitri dua rakaat kerana Allah Ta’ala.”

Lafaz niat Aidiladha: 

اصَلِّي سُنَّة عيد الأضحي رَكعَتَينِ للهِ تَعَالَي


“Usolli sunnatal li’iidIl adha rak’ataini makmuman lillaahi ta’ala”

Artinya: “Sahaja saya solat sunat Aidil Adha dua rakaat kerana Allah Ta’ala.”

Seterusnya:
  1. Takbiratul Ihram - Allahu Akbar (Wajib) 
  2. Doa Iftitah (Sunat) 
  3. Takbir pertama - hingga takbir ketujuh (Sunat) 
  4. Ketika takbir sunat diangkat tangan seperti Takbiratul Ihram. (Sunat) 
  5. Selepas takbir, baca Subhanallah walhamdulillah wala ilaha illal Lahu wallahu akbar (Sunat) 
  6. Selepas takbir ketujuh, baca fatihah (Wajib) 
  7. Selepas Fatihah, baca surah Sabbihis atau surah Qul Ya (Sunat) 
  8. Rukuk (Wajib) 
  9. Iktidal (Wajib) 
  10. Sujud (Wajib) 
  11. Duduk (Wajib) 
  12. Sujud kedua (Wajib)
  13. Qiam untuk rakaat kedua 
  14. Pada rakaat kedua, lepas takbir qiam: takbir lima kali (Sunat) 
  15. Selepas itu baca tasbih seperti diatas (Sunat) 
  16. Selepas takbir kelima, baca Fatihah (Wajib) 
  17. Selepas Fatihah, baca surah Hal Ataka atau surah Qul Hu (Sunat) 
  18. Seterusnya, iaitu rukuk, sujud, duduk, sujud, duduk tahyiat, tasyahhud, selawat dan salam

0 comments:

Post a Comment