Solat Sunat Khusuf Dan Kusuf

Solat sunat muakkad berjemaah kedua yang utama ialah solat gerhana, sama ada gerhana bulan (al-khusuf) ataupun gerhana matahari (al-kusuf). Solat ini disyariatkan pada Rabiul Awal tahun 10 Hijrah bersamaan Jun 631 Masehi. Pada hari itu berlaku gerhana matahari. Mengikut kepercayaan karut orang jahiliah, apabila berlaku gerhana maka sesuatu buruk telah berlaku di bumi.

Hikmah

Ramai orang bertanya, mengapa kita sembahyang gerhana, sedangkan gerhana adalah kejadian alam? Memang, dalam Islam gerhana adalah kejadian sunnah Allah, seperti disebut oleh Nabi: “Bahawa matahari dan bulan adalah salah satu dari ayat Allah, bila berlaku gerhana maka bukanlah disebabkan seseorang mati atau hidup. Apabila berlaku maka bertakbirlah, dan bersedekah dan dirikan solat”. (Bukhari, Muslim, Nasai)

Tujuannya jelas, untuk menolak perkara atau kepercayaan khurafat tentang kejadian gerhana. Seperti dikatakan orang Arab percaya gerhana berlaku disebabkan kematian raja, wali atau sebagainya. Dikalangan masyarakat tradisional, baik di Eropah, Afrika mahupun Asia, kepercayaan karut tentang kejadian gerhana memang ada. Malah ia wujud didalam masyarakat tradisional Melayu. Ada masyarakat yang sujud kepada matahari atau bulan ketika gerhana. Mengaitkan kejadian di bumi dengan gerhana amat ditentang oleh Islam.

Solat yang didirikan pada masa gerhana bukanlah untuk menyelamatkan bulan mahupun matahari, bukan juga untuk mengelakkan bala yang akan datang. Sebaliknya untuk meningkatkan keimanan kepada Allah, disamping menanamkan pemikiran saintifik dalam budaya Islam. Orang Islam dikehendaki mengetahui dan sentiasa menyedari peranan matahari dan bulan dalam kehidupan manusia dan hidupan lain dibumi.

Maka itu, mengikut Quran, orang Islam lelaki dan perempuan dikehendaki memelihara bumi dan ekologinya, supaya tidak rosak dan tercemar. Dengan mendirikan solat gerhana dan mendengar khutbahnya, diharapkan manusia sedar akan tanggungjawab menjaga bumi Allah, dan berasa kerdil dan lemah terhadap keagungan Allah.

Solat ini lebih utama dilakukan secara berjemaah, namun boleh juga dilakukan secara bersendirian.

Cara-Cara

Apabila berlaku gerhana, maka umat Islam lelaki atau wanita yang berada ditempat berlakunya gerhana itu, berhimpun di masjid atau pun di surau, mendirikan solat gerhana secara berjemaah. Jika tidak dapat berjemaah, solat boleh dilakukan besendirian. Jika gerhana sudah selesai, tidak perlu sembahyang gerhana.

Mengikut Riwayat Bukhari dan Muslim, dan diputuskan oleh mazhab Shafei, bahawa solat itu dua rakaat, setiap rakaat mempunyai dua qiam, dua bacaan Fatihah, dua rukuk dan dua sujud. Jadi jumlah keseluruhannya mempunyai empat qiam, empat bacaan Fatihah, empat rukuk dan empat sujud.

Lafaz niat gerhana bulan:

أُصَلِّى سُنَّةَ الخُسُوفِ رَكْعَتَينِ للهِ تَعَالَى


“Usolli sunnatal khusufi rak’ataini lillaahi ta’ala”

Artinya: “Sahaja saya solat sunat gerhana bulan dua rakaat kerana Allah Ta’ala.”

Lafaz niat gerhana matahari:

أُصَلِّى سُنَّةَ الْكُسُوفِ رَكْعَتَينِ للهِ تَعَالَى


“Usolli sunnatal kusufi rak’ataini lillaahi ta’ala”

Artinya:

“Sahaja saya solat sunat gerhana matahari dua rakaat kerana Allah Ta’ala.”

Seterusnya:
  1. Takbiratul Ihram 
  2. Baca doa Iftitah 
  3. Baca Al-Fatihah 
  4. Baca surah atau ayat Quran
  5. Rukuk - baca tasbih sebanyak-banyaknya 
  6. Iktidal 
  7. Baca Fatihah 
  8. Baca surah atau ayat Quran 
  9. Rukuk 
  10. Iktidal 
  11.  Sujud - baca tasbih sebanyak-banyaknya 
  12. Duduk 
  13. sujud kedua - baca tasbih sebanyak-banyaknya 
  14. Ulangi yang sama untuk rakaat yang kedua. Dan pada rakaat kedua, selepas tahiyat, tasyahhud dan selawat diakhiri dengan salam.

Dalam solat ini, bagi orang biasa bacalah surah yang senang dan lancar, Surah as-Syams pada qiam pertama, surah al-Lail pada qiam kedua, surah Qul-Hu pada qiam ketiga dan Qul A’uzubirabbil falaq pada qiam ke-empat.

Sekiranya berjemaah maka sunat diadakan khutbah gerhana menerangkan fakta kejadian gerhana dan mengaitkannya dengan kepercayaan kepada Allah. Menyarankan supaya umat Islam berpegang pada fakta ilmu pengetahuan yang betul, dan tidak percaya kepada khurafat dan kepercayaan karut. Memberikan penerangan kepada makmum supaya taat kepada Allah dan jangan membuat kerosakan di muka bumi.

0 comments:

Post a Comment