Bagaimana Cara Mengerjakan Solat Sunat Taubat

Taubat bermaksud ingin berhenti dari melakukan dosa. Solat sunat taubat dikerjakan oleh seseorang yang mau memohon ampun daripada Allah selepas terjebak dengan melakukan kesalahan atau dosa. bertekad untuk tidak mengulanginya semula selama-lamanya.


Solat ini dalam hadis yang dibawa oleh Abu Bakar al-Siddiq seperti diriwayatkan oleh Turmuzi, hanya menyatakan solat meminta ampun; “Seseorang yang telah melakukan dosa, bersuci, bersolat dan meminta ampun, Allah akan mengampunkannya.”

Hikmah

Mengapa orang yang ingin berhenti membuat dosa atau perbuatan maksiat perlu bersusah payah mendirikan solat? Tidak cukupkah dengan dia berazam tidak mahu melakukannya dan meminta ampun akan dosa yang telah dilakukannya?

Jika seseorang itu selepas sedar dari membuat dosa lalu menyesal dan berazam tidak mahu melakukannya, dia biasanya tidak dapat bertahan lama. Dia akan mengulangi lagi membuat dosa itu apabila datang godaan.

Dalam Islam taubat bukanlah hanya sebelah pihak sahaja, iaitu orang yang bertaubat. Tetapi, melibatkan Allah, Tuhan yang maha pengampun. Allah akan memberi ampun dan menerima taubat seseorang, barulah seseorang akan berjaya berhenti daripada melakukan dosa atau maksiat. Maka jalan yang ditunjukkan oleh Nabi ialah setelah dia sedar, insaf dan mahu berhenti dari melakukan dosa, dia mesti melakukan solat taubat.

Cara-Cara

Solat sunat taubat hanya dua rakaat. Solat ini perlu dilakukan dengan kusyuk dan tawaduk dirumah, bersendirian tanpa menunjuk-nunjuk pada orang.

Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Turmuzi menggambarkan seseorang yang sedar dan insaf akan perbuatan dosanya, hendaklah dia membersihkan diri dengan mandi menyucikan diri dari kotoran najis, hadas kecil dan besar, wudhu’ kemudian lakukan solat fardhu dahulu, diikuti solat rawatib lalu dilakukan solat taubat, kemudian meminta ampun dari Allah. Selepas itu hendaklah melakukan solat witir.

Solat taubat boleh dilakukan dua rakaat, empat atau lebih. Rakaat pertama selepas Fatihah baca al-Kafirun dan rakat kedua al-Ikhlas. Selepas itu berdoa meminta ampun dari kesalahan yang dilakukan dan berjanji dihadapan Allah tidak akan membuatnya lagi.


Cara berdoa sama sahaja, iaitu dimulai dengan bismillah, alhamdulillah, selawat menyeru nama Allah yang sesuai dengan perasaan insaf anda nyatakan tentang perbuatan dosa yang dilakukan dan kekesalan anda. Mohon ampun dari Allah.

Lafaz niat:

أصَلِّي سُنَّةَ التَوبَةِ رَكَعَتَيْنِ لِلهِ تَعالىَ


“Usolli sunnatan taubati rak’ataini lilaahi ta’ala”

Artinya: “Sahaja saya solat sunat taubat dua rakaat kerana Allah Ta’ala.”

Rakaat pertama selepas Fatihah baca surah Qul Ya.
Rakaat kedua selepas Fatihah baca surah Qul Hu.
Selepas solat, munajatlah atau berkatalah kepada Allah akan kesilapan yang anda buat dan bermohon ampun dengan melafazkan:

اللَّهُمَّ أَنْتَ رَبِّي لاَ إِلَهَ إِلاَّ أَنْتَ خَلَقْتَنِي وَأَنَا عَبْدُكَ وَأَنَا عَلَى عَهْدِكَ وَوَعْدِكَ مَا اسْتَطَعْتُ أَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا صَنَعْتُ أَبُوءُ لَكَ بِنِعْمَتِكَ عَلَيَّ وَأَبُوءُ لَكَ بِذَنْبِي فَاغْفِرْ لِي فَإِنَّهُ ‏لاَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلاَّ أَنْتَ


Maksudnya :

“Ya Allah ! Engkaulah Tuhanku, tidak ada Tuhan melainkan Engkau, Engkau telah menjadikan daku dan aku adalah hambaMu dan aku di atas perintah dan perjanjianMu sekadar keupayaanku, aku berlindung denganMu dari kejahatan barang yang aku lakukan, aku mengaku bagiMu dengan nikmatMu ke atasku dan aku mengaku dengan dosaku, maka ampunilah bagiku, maka sesungguhnya tiada siapa yang dapat mengampunkan segala dosa melainkan Engkau” (Diriwayatkan oleh Bukhari).

2 comments: