Tuntunan Solat Sunat Tarawih

Solat sunat muakkad berjemaah yang berikutnya ialah solat sunat tarawih, iaitu solat pada malam bulan ramadhan. Nama sebenarnya seperti yang disebut dalam hadis sahih ialah solat Ramadhan (Qiyam Ramadhan)

Tarawih adalah kata jamak bagi tarwihah, ertinya berhenti rehat. Qiyam Ramadhan ini dilakukan dengan setiap empat rakaat berhenti rehat, maka empat rakaat itu dipanggil satu tarwihah, jika sembahyang itu 20 rakaat, maka akan ada lima tarwihah. Tidak ada hukum untuk berehat. Seseorang boleh sahaja terus sembahyang hingga habis tanpa berhenti.





Hikmah

Solat sunat tarawih (Qiyam Ramadhan) dilakukan pada tiap malam ramadhan secara berjemaah. Solat ini dilaksanakan dengan “berehat-rehat” kerana ia biasanya dilakukan di masjid secara berjemaah. Tujuan solat berehat-rehat untuk menggelakkan ketegangan badan selepas berbuka puasa, disamping memberikan keikhlasan dan ketenangan kepada orang yang sembahyang, khususnya orang yang berumur.

Solat ini digalakkan sebagai cara untuk menghidupkan malam bulan ramadhan. Nabi menggalakkan orang Qiyam Ramadhan, tanpa menjadikannya wajib. Baginda bersabda:“Siapa yang qiyam Ramadhan dengan beriman dan cermat(ihtisaban) akan diampuni dosanya yang lalu.” (Riwayat Jamaah).

Bulan Ramadhan bulan yang penuh berkat dan diberikan hikmat, antaranya ialah malam diturunkan Quran dan “Lailatul qadar”. Solat tarawih dapat menghapuskan segala dosa yang dilakukan oleh seseorang itu. Solat terawih ini jika dilakukan selain pada bulan ramadhan dipanggil solat malam (solat lail). Namun solat tarawih lebih utama kerana kedudukannya pada bulan Ramadhan. Solat ini tidak pernah ditinggalkan oleh Nabi, tetapi cara melakukannya ada kalanya berjemaah dimasjid dan ada kalanya tidak.

Cara-Cara

Solat sunat tarawih atau qiyam Ramadhan dilakukan selepas solat Isya’. Jumlah rakaatnya berbeza-beza antara lapan, dua puluh, tiga puluh dan sebagainya. Hadis Bukhari dan Muslim menyatakan bahawa Aisyah, isteri Nabi melhat Nabi bersolat tarawih dirumah sebanyak lapan rakaat . Dan terdapat amalan sahabat Nabi yang pernah menjadi imam solat tarawih pada zaman nabi, iaitu Ubai bin Kaab yang membuat solat ini sebanyak 20 rakaat (diriwayatkan oleh Bukhari).

Terdapat juga amalan penduduk Madinah melakukan solat tarawih 36 rakaat dan dalam hadis riwayat al-Baihaqi mengatakan ada sahabat yang solat tarawih 200 rakaat. Mereka berpendapat bahawa solat tarawih adalah nama lain bagi solat mutlak malam (Qiyamulail). Jika qiyamulail tidak dihadkan jumlah rakaatnya, maka qiyam Ramadhan pun demikian.

Solat sunat Ramadhan lapan rakaat , seperti yang dilihat oleh Aisyah dirumah adalah yang minimum. Jumlah ini dipilih oleh segelintir umat islam. Namun, solat tarawih 20 rakaat menjadi pilihan Imam Shafei, Hambali dan Hanafi. Alasannya ialah amalan 20 rakaat itu dilakukan oleh Ubai bin Kaab di masjid. Beliau yang pernah menjadi imam pada zaman Nabi, zaman Abu Bakar dan zaman Omar melakukan solat tarawih 20 rakaat, sehingga Omar pun menetapkan solat tarawih berjemaah dimasjid 20 rakaat.

Sebagai hamba kepada Allah yang ingin mengabdi dan berbakti, kita mempunyai pilihan dan kehendak diri sendiri. ini kerana,solat tarawih ini ibadat tambahan dan satu cara untuk menunjukkan kebaktian dan ketaatan kepada Allah. Maka Nabi menyuruh ia dilakukan mengikut kemampuan, keikhlasan dan kerelaan. Sekiranya memadai dengan lapan atau perlu ditambah hingga 20, bergantung pada individu itu sendiri.

Yang perlu diingatkan ialah manusia perlu menjaga kesihatan, perlu tidur dan perlu rehat seperti yang disabdakan oleh Nabi: “Adakah kamu yang memberitahu aku, kamu berpuasa disiang hari dan solat sepanjang malam?” Maka Abdullah bin Amru menjawab: “Benar!” Maka Nabi bersabda: “Jangan buat begitu. Tetapi puasalah, bukalah, solatlah dan tidurlah. Badan kamu ada hak dan mata kamu juga ada hak.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Solat tarawih dilakukan dengan setiap dua rakaat satu salam. Selepas membaca Fatihah, sunat membaca sebarang ayat ataupun surah daripada Quran, tidak kira pendek atau panjang atau berulang-ulang asalkan bacaan itu betul dan solat itu dibuat dengan tertib. Tidak ada hadis Nabi tentang bacaan surah ini.

Segala bacaan diluar solat, seperti salawat, doa dan periwayatan khalifah tidak termasuk amalan solat tarawih, tetapi hanya selingan antara solat. Tidak ada larangan untuk berselawat atau berdoa, jika cara dan adab melakukannya baik dan tidak menjejaskan solat tarawih jika ditinggalkan.

Lafaz niat:

أُصَلِّي سُنَّةَ التَّرَاوِيْحِ رَكْعَتَيْنِ لِلَّهِ تَعَالَى


“Usolli sunnatal tarawihhi rak’ataini makmuman lilaahi ta’ala”

Artinya:

“Sahaja saya solat sunat tarawih dua rakaat kerana Allah Ta’ala.”

Nota:

Semua solat sunat bersendirian boleh dilakukan secara duduk.

2 comments: